20 Tahun Inteam - Meneruskan Legasi Otai Nasyid


Kemunculan lagu Kasih Kekasih pada tahun 2000 mencetuskan fenomena yang baru dalam industri nasyid Malaysia. Label nasyid jiwang mula bergema malah beberapa artis selepas kelahiran Inteam, turut membawa haluan nasyid jiwang.


Memulakan langkah seni menerusi album Kasih Kekasih (2000), Inteam yang ketika itu menggunakan ejaan In-Team, mendapat sambutan luar biasa terutama dalam kalangan mahasiswa tanah air. Jualan album sulung melebihi 80,000 unit membolehkan mereka mendapat Anugerah Platinum daripada Hijjaz Records. 

Malah, Inteam yang bernaung di bawah Hijjaz Records, terus digilap oleh otai nasyid, yakni kumpulan Hijjaz, dalam meningkatkan kualiti vokal yang mereka ada.

Inteam meneruskan perjalanan seni menerusi album kedua mereka, Impian Kasih (2001). Album ini telah menaikkan lagi nama In-Team dalam industri dengan beberapa lagu hit mereka, antaranya Impian Kasih, Insan Taqwa, Hembusan Kasturi, Selamatkan Dunia dan sebuah lagu srikandi bertajuk Rabiatul Adawiyah. 

Perjalanan seni Inteam bersama Hijjaz Records diteruskan lagi menerusi dua buah album, Damba Kasih (2003) dan In-Team '04 (2004). Dua buah album ini menyaksikan transisi berlaku dalam Inteam apabila Hisyam mengundurkan diri untuk menubuhkan DeHearty. Tempatnya digantikan oleh Rahim.

Sejurus kelahiran album in-team '04, Inteam memulakan langkah berdikari dengan menubuhkan syarikat pengurusan sendiri, In-Team Edutainment. 

Kontrak mereka bersama Hijjaz Records tamat pada tahun 2005. Ketika ini jugalah, Suhaimi Saad berundur dari Inteam untuk terus bersama Hijjaz Records. Ekoran tamatnya kontrak bersama Hijjaz Records, mereka menjenamakan semula In-Team menjadi Inteam.

Pada masa yang sama, mereka turut menaik taraf perusahaan mereka dari In-Team Edutainment menjadi Inteam Records Sdn. Bhd. Setelah setahun mereka memerah keringat, akhirnya Inteam berjaya menghasilkan album studio kelima mereka yang berjudul Tiada Lagi Kasih pada tahun 2006. 

Percaturan seni Inteam selepas tamatnya ikatan bersama Hijjaz Records disusun rapi. Selepas album Tiada Lagi Kasih, Inteam meneruskan karya seni mereka melalui album Nur Insani (2007). Album ini merupakan album pertama Inteam yang berkonsepkan jalan cerita di mana lagu-lagu yang terkandung dalam album ini disusun mengikut permulaan hidup manusia dari lahir sehinggalah detik kematian. Album ini juga merupakan album pertama Inteam yang menampilkan Hisyam Ahmad yang juga bekas anggota kumpulan Inteam itu sendiri. 

Dua tahun selepas itu, Inteam telah menghasilkan studio ketujuh yang berjudul Allahu Rabbi. Dua bekas anggotanya iaitu Hisyam dan Suhaimi ditampilkan sebagai artis undangan, menjadikan album ini mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan peminat. 

Album ini berjaya merangkul anugerah menerusi lagu "Dia Muhammad" dan album Allahu Rabbi dalam AIM ke-17 yang berlangsung pada tahun 2010. Lagu "Dia Muhammad" diiktiraf sebagai Lagu Nasyid Terbaik manakala album Allahu Rabbi diangkat sebagai Album Nasyid Terbaik pada malam tersebut yang berlangsung pada 2 Mei 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. 

Diskografi album Inteam (2000 - 2020)

Pada tahun 2013, Inteam sekali lagi bergabung dengan Hisyam dan Suhaimi dalam album studio kelapan iaitu Iman & Aman. Album ini terkenal dengan lagu Iftar ciptaan Syah Inteam. 

Tahun 2015, Hisyam secara rasmi kembali menjadi anggota Inteam. Sejak itu, Inteam bergerak aktif semula secara berempat. Karya seni Inteam diteruskan menerusi album Miracle Hits (2015), dan Zikir Hati (2017). 

Dari menerbitkan album sendiri, Inteam Records turut menjadi syarikat penerbitan nasyid dan Islami yang sebaris dengan otai asal mereka, Hijjaz Records.

Antara artis yang pernah menerbitkan album di bawah Inteam Records ialah Nazrey Johani, Adikku Sayang, Akhil Hayy,dan Nakriz. Selain itu, Inteam Records turut menjadi pengedar untuk album-album Islami lain di Malaysia.

Inteam Records juga turut menjalinkan kerjasama bersama syarikat-syarikat rakaman luar negara. Antaranya ialah Awakening Records dari United Kingdom, di mana IRSB bertindak sebagai pengedar album-album artis Awakening seperti Maher Zain dan Sami Yusuf. Selain itu, IRSB turut mengedarkan album-album Opick (Tombo Ati Production), Edcoustic, Zain Bhika dan sebagainya. 

 Boleh dikatakan IRSB antara syarikat yang banyak menaikkan nama-nama artis nasyid luar negara di Malaysia. Misalnya Maher Zain, Opick, Humood Alkhudher (penyanyi Kun Anta) dan terbaru Harris J (penyanyi Salam). IRSB juga pernah menganjurkan event-event besar di Malaysia seperti Maher Zain Live In Concert, Opick Live In Concert serta Malam Cinta Rasul di KLCC.

20 tahun di persada seni, bukan satu tempoh mudah. Bertahan dalam industri nasyid untuk tempoh matang ini mencerminkan kesungguhan mereka dalam meneruskan legasi otai asal mereka, Hijjaz. Susun atur strategi dalam industri ini sedikit sebanyak membantu dalam mempertahankan industri nasyid sama ada di Malaysia, mahupun di persada dunia.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling