Diwani: Retro Nasyid Yang Sinonim Dengan 'Satu'


Kehangatan penerimaan masyarakat terhadap kumpulan nasyid Raihan pada tahun 1997 menjadi titik mulanya kemunculan artis-artis nasyid kontemporari di Malaysia.

Diwani turut tidak terlepas untuk mengambil ruang tersebut. Kumpulan ini diasaskan oleh Hasnul Jamal Sulaiman.

Dunia nasyid bukan sesuatu yang baru bagi Hasnul Jamal ketika itu. Ketika menuntut di negara Mesir, Hasnul Jamal telah bersama kumpulan nasyid Fitrah Murni atau turut dikenali sebagai Nadi Kinanah.

Sekembalinya ke Malaysia, Hasnul Jamal meneruskan perjalanan seni nasyidnya. 

Pada tahun 1996, bermula dengan entiti syarikat pengiklanan Diwani Creative di Kluang, Johor. Penerimaan genre nasyid kontemporari menyebabkan Hasnul Jamal dan rakan-rakannya di Diwani Creative tampil menubuhkan kumpulan nasyid Diwani.



Nama Diwani tercetus daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘rasi’. Malah ia juga merupakan seni khat Arab yang digunakan secara rasmi bagi urusan kerajaan Islam dahulu seperti penggunaan cop mohor rasmi kerajaan dan sebagainya.

Justeru, Diwani mengambil nama ini sebagai simbolik kepada rasminya tanggungjawab menyampaikan kebenaran seperti tugas rasmi para Rasul.

Diskografi album Diwani

Katalog album Diwani dimulakan dengan album sulung mereka, Jalan Yang Satu (1998). Di bawah label Diwani Creative dan edaran Ambang Klasik (anak syarikat stesen TV3), album yang berkonsepkan nasyid kontemporari ini terjual melebihi 100,000 unit ekoran promosi yang dijalankan oleh pihak Ambang Klasik terutama melalui platform TV3.

Antara lagu-lagu yang berjaya menaikkan nama Diwani ketika itu ialah Jalan Yang Satu, Subhanallah, Di Hening Malam dan Pesanan.

Setelah kontrak edaran bersama Ambang Klasik tamat, Hasnul Jamal meneruskan perjalanan Diwani bersama syarikat rakaman Rufaqa' Media. Satu Peringatan diterbitkan pada tahun 2001 bersama lima anggota sokongan yang lain.

Pemilihan nasyid pop klasik yang terlalu berentak perlahan, ditambah pula dengan kurangnya promosi secara komersial menyebabkan album kedua ini tidak seindah album pertama mereka. 

Dalam album ini, lagu utama yang sering diputarkan pihak radio adalah Satu Peringatan dan Adrikni. Difahamkan album ini terjual sebanyak 20,000 unit dalam tempoh dua tahun penerbitannya.

Tahun 2007, bersama Rizal, Muhamad Rafiq dan  Nur Mujahid, Hasnul meneruskan perjalanan Diwani menerusi album ketiga, Satu Cinta di bawah label kerjasama antara Batu Giling Production, I Events Services and Management dan Mata Hati Resources.

Album ini hakikatnya sekadar album salin kulit bagi album solo Hasnul Jamal, Satu Cinta. Yang bertukar hanyalah cetakan kulit album. Bertunjangkan nasyid kontemporari, antara lagu yang enak didengar dalam hidangan album ini ialah Cari Jodoh, Mukmin Sejati dan Ya Maulana.

Setelah album Satu Peringatan dan Satu Cinta kurang disedari peminat nasyid, Diwani mengambil langkah berani menerbitkan album keempat dengan konsep pop nasyid moden. 

Pada tahun 2013, Diwani tampil dengan album keempat, Satu Seruan yang boleh dianggap album terbaik daripada Diwani. Langkah pemilihan lagu yang bersifat variasi (pelbagai) menjadikan album ini bukan sekadar tangkap muat.

Penggunaan khidmat beberapa artis undangan seperti Mel (ex-Wings), Sham (Kamikaze), Afad (ex-Raihan), dan Dr. Azizan Osman menjadikan album kali ini lebih segar.Antara lagu yang hits dalam album ini ialah Seruan Jihad, Islam Kini Yatim Piatu, Hanya Satu Yang Terpilih dan Al-Hijrah. 

Di bawah label Diwani Management Sdn Bhd, tindakan Diwani memilih syarikat Inteam Records menjadikan album ini lebih bernilai komersial dan disedari kewujudannya. Namun, tak banyak maklumat tentang jumlah jualan yang diperoleh menerusi Satu Seruan.

Diwani terus menerbitkan album pada tahun 2015 menerusi album The Best of Diwani. Album ini diterbitkan oleh label MH Pro Sdn Bhd secara pasaran digital sahaja. Bersifat himpunan terbaik Diwani, album ini turut mengetengahkan lagu terbaru berjudul Jalan Ke Syurga.

Meneliti katalog album Diwani, nyata tunjang kekuatan kumpulan ini hanyalah pada batang tubuh Hasnul Jamal. Dari album pertama hinggalah yang terkini, Diwani hanyalah bersandarkan kepada vokal utama Hasnul Jamal manakala ahli-ahlinya yang lain bertindak sebagai penyanyi latar sahaja.

Tidak hairanlah apabila Hasnul Jamal bergerak secara solo, maka nama Diwani tak kedengaran lagi terutama dalam kalangan generasi muda. Nama Diwani akan terus dikenang dengan sinonim 'satu' pada setiap judul album-albumnya.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling