Suara Hati: Kembalilah Kasih Dan Antara Kita


Ketika era kaset 'RM6' menguasai industri nasyid Malaysia sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, kumpulan-kumpulan nasyid peringkat sekolah turut tampil merancakkan lagi suasana ketika itu.

Kumpulan nasyid SAMTTAJ

Pada tahun 1991, sebuah kumpulan nasyid bergelar Suara Hati telah ditubuhkan. Awal penubuhan kumpulan ini menyaksikan anggota-anggotanya terdiri daripada para pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ).

Namun, nama Suara Hati akhirnya 'diswastakan' dengan melibatkan beberapa ahli yang menuntut di sekitar Lembah Klang dan Selangor. 

Ketika itu, kumpulan ini dianggotai dua vokalis utama iaitu Mohd Fadzil Ibrahim dan Mohd Nadzrie Abbas, manakala anggota lain ialah Bahrisha Mohd Sam, Mohd Hilmi Hamzah, Taufik Hakim, Taufik Redha dan Alifi Alias.

Fadzil Ibrahim merupakan adik kepada 'otai' nasyid terkenal Malaysia, Allahyarham Asri Ibrahim (Rabbani / NadaMurni).

Sebelum menerbitkan album, kumpulan ini terlebih dahulu telah aktif dalam beberapa siri persembahan pentas bagi memperkenalkan mereka. Antara persembahan tersebut adalah persembahan di asrama Yayasan Selangor, Hotel Centre Point Temerloh dan Holiday Inn Subang.


Pada tahun 1994, Suara Hati telah menerbitkan album sulung mereka berjudul Kembalilah Kasih. Album sulung ini dihasilkan dengan usaha mereka sendiri bermula dengan penghasilan lagu, kos rakaman, kos penggubah muzik dan sebagainya di bawah label Suara Hati Production.

Rakaman telah dijalankan di Orchid Studio dan menggunakan khidmat syarikat rakaman nasyid terkenal ketika itu, OVA Productions, sebagai pengedar album.

Kembalilah Kasih mengetengahkan kombinasi paluan alat perkusi sebagai ritma muzik utama album ini, sesuai dengan zaman muzik perkusi bagi industri nasyid ketika itu. Namun muzik Suara Hati kelihatan lebih moden berbanding artis-artis nasyid yang lain.

Walaupun Suara Hati bukan sebahagian daripada artis OVA Production, namun pengaruh muzik yang sinonim dengan syarikat tersebut jelas terserlah. 

Trek lagu yang terdapat dalam album ini ialah Kembalilah Kasih, Dari Suara Hati, Kuserah Cinta Ini, Dedaun Kasih Yang Terlerai, Bebunga Mekar Itulah, Lambaian Kasih, Bahagia Dalam Derita, Warna Kehidupan dan Pertemuan Bukan Milik Kita.

Lagu Kuserah Cinta Ini ciptaan Isman Nadim pernah dinyanyikan semula oleh Inteam menerusi album keempat Inteam, Inteam '04.

Selepas kelahiran album Kembalilah Kasih, Suara Hati menyepi untuk tempoh yang panjang tanpa sebarang album.

Pada tahun 2000, Alifi Alias selaku tonggak utama Suara Hati telah merekrut tiga anggota lagi bagi memberi nafas baru buat Suara Hati. Tiga anggota baru Suara Hati itu ialah Mahadzir Nasarudin, Suhaimi Salleh dan Mahiz Spawi.


Jika album sulung terbit ketika mereka masih di bangku sekolah, maka album kedua ini hadir ketika mereka bergelar mahasiswa.

Dengan kekuatan empat anggota, Suara Hati muncul dengan album kedua berjudul Antara Kita. Album ini diterbitkan oleh One-One Four Networks (M) Sdn Bhd.


Rakaman album Antara Kita pula dijalankan di Twin Studio. Antara Kita memuatkan 10 buah lagu iaitu Antara Kita, Moga Berbahagia, Bersama, Restui Daku, Rintihan, Cinta Hati Kami, Sahabat, Kasih Bersemi Lagi, Kerana-Nya Kita Bertemu dan Menara Gading.

Sesuai dengan era nasyid kontemporari mahasiswa, muzik Suara Hati kali ini lebih moden. Malah, album Antara Kita turut diterbitkan dalam format cakera padat.

Hayat Suara Hati tak lama. Antara Kita merupakan album terakhir kumpulan nasyid ini sebelum mereka membawa haluan masing-masing. Namun, berakhirnya Suara Hati tidak bermakna bakat seni mereka terpadam. Malah ada antara mereka yang masih bergiat aktif di belakang tabir industri nasyid Malaysia.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling