The Zikr, satu nama yang pernah yang hadir ketika era kaset nasyid RM6 atau lebih tepat ketika era kegemilangan pergerakan al-Arqam.
Kumpulan ini mula diperkenalkan oleh syarikat rakaman OVA Productions pada tahun 1992 melalui album Munajat, sebuah album kolaborasi bersama kumpulan NadaMurni.
Di dalam album Munajat, The Zikr telah diberi dua buah lagu sebagai pengenalan mereka iaitu Berkorban Apa Saja dan Indahnya Hidup Ini.
Album Munajat membariskan line up terawal The Zikr iaitu Farihin, Zairie, Nazrey Johani, Salleh, Hussin, Azman dan Harun.
Kehadiran The Zikr diterima baik oleh peminat nasyid ketika itu, Walaupun mereka merupakan 'adik' kepada kumpulan NadaMurni, namun konsep muzik The Zikr yang bersifat easy listening dan sedikit berbeza dengan NadaMurni, menambahkan variasi artis nasyid ketika itu.
Malah menurut Che Amran yang dipetik dari Trivia Nasyid (ANAM), The Zikr sudah menggunakan 'drum machine' dalam lagu-lagu mereka.
KATALOG ALBUM THE ZIKR
![]() |
Pada tahun 1993, The Zikr tampil dengan album sulung berjudul Kenangan.Masih dengan bilangan anggota lapan orang, line up kali ini ada sedikit perubahan.
Album Kenangan menampilkan Nazrey, Zairie, Salleh, Hussin sebagai anggota asal, manakal empat anggota baru ialah Abu Bakar, Rafdi, Azhar dan Zaid.
Kenangan memuatkan 10 buah lagu iaitu Kawan, Wahai Kawan, Tanpa Agama, Dinul Huda, Mati, Semangat Waja, Kasih Ibu Bapa, Rasulullah, Sepohon Kayu dan Medley Minda.
Pada tahun 1993 juga, The Zikr tidak menunggu masa yang lama untuk menerbitkan album kedua mereka berjudul Antara 2 Cinta. Album ini masih diterbitkan oleh OVA Productions dan mengandungi lagu-lagu seperti Pemimpin Sejati, Air Mata Keinsafan, Antara 2 Cinta, Dunia Baru Islam, Suara Kebenaran, Tika Abuya Pulang, Wahai Kaum Muslimin, Wahai Kekasih, dan Wahai Para Mujahid.
Dalam album ni, lagu 'Tika Abuya Pulang' mencetuskan sedikit kontroversi.
Album Secerah Pawana (1996), album ketiga The Zikr muncul dengan memuatkan lagu-lagu seperti Allah Is Calling, Di Sinilah Kita, Isteri Solehah, Kasih Mesra, Kehidupan, Mengemis Kasih, Perantau, Rasulullah, Secerah Pawarna dan Tidak Seindah Sentuhan Mata.
Secerah Pawana membariskan anggota seperti Nazrey, Zairie, Salleh dan Abu Bakar.
Album ini merupakan album studio terakhir The Zikr dan merupakan album terbaik dari segi kualiti audio dan lagu-lagunya. Album ini merupakan terbitan asal OVA Productions, namun untuk cetakan keduanya, ia diterbitkan oleh Permata Audio Productions.
Pada tahun 1997, The Zikr tampil dengan album Kembara Cinta. Album ini diterbitkan oleh Permata Audio Production dan menampilkan koleksi lagu-lagu popular The Zikr iaitu Secerah Pawana, Tak Seindah Sentuhana Mata, Kasih Mesra, Antara 2 Cinta, Isteri Solehah, Allah Is Calling, Rasulullah, Sketsa Kehidupan, Di Sinilah Kita, Mengemis Kasih, Perantau, dan Air Mata Keinsafan.
TRANSFORMASI KEPADA RAIHAN
Ketika kontroversi yang membawa kepada pembubaran pergerakan al-Arqam, semua artis di bawah OVA Production turut menerima nasib untuk dibubarkan.
Mereka ibarat berehat seketika sebelum membuat kemunculan semula. The Zikr, yang merupakan salah satu artis OVA Production, turut tampil dengan wajah yang lebih moden dan kontemporari.
Nazrey Johani, Zairie dan Abu Bakar kembali bergabung membentuk Raihan bersama dua lagi anggota, Che Amran dan Amran.
Allahyarham Salleh pula menyertai kumpulan Hijjaz. Kemunculan Raihan menerusi album sulung, Puji-Pujian mencetuskan kebangkitan industri nasyid. Penerimaan masyarakat menjadikan album Puji-Pujian mencatatkan jualan tertinggi apabila 750,000 unit dijual.
Bermula dengan era kaset RM6, The Zikr telah meninggalkan kesan yang baik kepada industri nasyid Malaysia. Lagu-lagu malar hijau mereka masih dinyanyikan generasi baru dengan nafas yang baru.
Roh di sebalik lirik lagu menjadikan karya-karya nyanyian The Zikr masih diterima sehingga kini.
Dulu suka sangat lagu Antara 2 Cinta.
ReplyDeletePost a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.