Nostalgia 'Rindu Kekasih' Lonjakkan Nama As-Saufee


Bertahan selama sebelas minggu sebagai Juara Carta Nasyid Minggu Ini (NMI) sekitar tahun 2010 merupakan satu kenangan manis yang terukir dalam sejarah kumpulan nasyid As-Saufee.

Melalui lagu Rindu Kekasih, kumpulan ini pernah mencipta segmen peminat tersendiri malah mampu mengatasi populariti penyanyi Mawi ketika itu yang mengetengahkan lagu Al-Jannah. Bagi peminat industri muzik, sudah pasti akan ingat gelombang Tsumawi yang dibawa Johan Akademi Fantasi musim ketiga tersebut. 

As-Saufee ditubuhkan pada tahun 1999. Nama As-Saufee membawa maksud kejernihan, sesuai dengan motto kumpulan ini untuk menjernihkan suasana hiburan tanah air dengan hiburan alternatif yang berlandaskan Islam.

Ketika awal kemunculan mereka, As-Saufee dibarisi enam anggota iaitu Shafie, Duan, Zull, Izzat, Fatah dan Nasrullah.

Di bawah pengurusan syarikat An-Nahli Sdn Bhd, mereka diperkenalkan melalui album sulung, Keinsafan, pada tahun 2002. Album ini memuatkan lapan buah lagu iaitu Ya Rasulullah, Dustur Ilahi, Lima Perkara, Ya Nurul Aini, Rasul Pilihan, Hargai Masa, Hormati Ibu Ayah dan Keinsafan. Manakala baki dua lagi trek merupakan naration.

Album sulung yang berkonsepkan nasyid klasik kontemporari ini telah menjalani proses rakaman di Magic Eyes Production dan Cahaya Prospek Studio.

Album sulung, Keinsafan

Lagu-lagu yang menjadi sandaran utama dalam album ini adalah Ya Rasulullah, Dustur Ilahi dan Keinsafan yang acapkali diputarkan di corong-corong stesen radio RTM dan IKIM.fm.

Walau bagaimanapun, kehadiran album Keinsafan kurang memberi kesan kepada As-Saufee. Malah, album ini sukar diperoleh dek kerana kelemahan edaran album ini oleh syarikat pengurusan. Hanya kedai-kedai 'hardcore' nasyid saja yang menjual album ini.

Mengetengahkan konsep muzik saduran klasik dan nasyid kontemporari juga kurang menepati selera pendengar muda yang inginkan sesuatu yang segar.

As-Saufee meneruskan karier seni mereka menerusi line up yang baru untuk album kedua. Kali ini, hanya Duan sahaja yang kekal manakala lima anggota yang lain menarik diri.

Nafas baru As-Saufee kali ini menggabungkan tiga lagi anggota baru iaitu Hafiz, Fakhrul Idzhan, dan  Nazrul Azwan. 

Selain rekrut anggota yang baru, As-Saufee turut mengorak langkah menubuhkan syarikat pengurusan dan rakaman mereka sendiri iaitu Assaufee Records.

Pada Mei 2007, As-Saufee menerbitkan karya seni kedua mereka, Rindu Kekasih. Album ini diterbitkan sepenuhnya melalui syarikat mereka, Assaufee Records manakala edaran bersama oleh Panji Gemilang Distributor.

Album kedua, Rindu Kekasih memberi nafas baru

Nafas baru, konsep muzik segar serta pemilihan lagu yang teliti berjaya memberi sinar kepada As-Saufee melalui album kali ini. Mengetengahkan sepuluh buah lagu, banyak lagu yang diterima baik oleh peminat nasyid antaranya lagu Rindu Kekasih, Rintihanku, Kota Mekah dan Dunia.

Paling ketara, lagu Rindu Kekasih. Lagu ciptaan Hafiz, Duan dan Abu Marwan manakala lirik oleh Ramzul ini seolah memberi nafas baru buat As-Saufee. Malah, banyak undangan persembahan mula diterima As-Saufee dek kerana lagu tersebut.

Kekuatan As-Saufee ditambah menerusi seorang lagi ahli iaitu Faizal.

Pada tahun 2009, Assaufee Records turut mempunyai anak didik sendiri yang dikenali sebagai Nusantara. Kumpulan ini dianggotai empat orang iaitu Tarmizi, Anuar, Shahrill dan Syafiq. 

Ketika itu jugalah, idea untuk menerbitkan album kumpulan Nusantara dan album ketiga As-Saufee giat diusahakan di bawah Assaufee Records.


Bagi album ketiga As-Saufee, beberapa lagu telah di senaraikan. Antaranya ialah Gerbang Hidayah, Laluan Sepi, Doa Buat Pengantin, Khalid Al Walid, Nafas Terakhir, Sinar Yang Calar, dan Kasih Sayang.

Album ketiga yang tidak muncul

Namun entah di mana silapnya. Album ketiga mereka masih juga tidak menjelma sehingga kini. Tidak diketahui punca sebenar album tersebut terperam sedangkan rakaman beberapa buah lagu difahamkan telah dibuat. Malah projek Nusantara turut sepi.

Line up Saufee tahun 2016. Foto: Munsyeed Corner

Nama As-Saufee pernah dijenamakan semula menjadi Saufee sekitar tahun 2006. Ketika itu juga, khabar album ketiga kedengaran semula. Tapi tak lama, khabar itu ditiup angin.

Album Rindu Kekasih di Youtube

Lonjakan lagu Rindu Kekasih yang memberi impak positif buat As-Saufee, tetap tersemat dalam kamus nasyid Malaysia. 

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling