Aniq Muhai Bangkit Melalui Mahakarya


Nama Aniq Muhai kini semakin dikenali golongan peminat nasyid dan muzik positif, sama ada golongan muda mahupun yang veteran. Kemenangan meraih anugerah Artis Nasyid Baharu Pilihan dalam Anugerah Nasyid Malaysia 2020 telah banyak memberi impak positif kepada anak muda ini.

Setelah kemunculan single pertama,Hingga Saat Akhir pada tahun 2020, Aniq Muhai terus berkarya melalui karya keduanya pada awal tahun 2021 iaitu Senyuman Terakhir.

Kini Aniq Muhai tampil lebih bertenaga menerusi lagu baharu bertajuk Mahakarya. 

Ketika ditemui Aniq menzahirkan rasa syukur selepas melihat sambutan yang diberikan oleh peminat terhadap Mahakarya yang disifatkan sebagai amat luar biasa. 

Menurut Aniq Muhai, lagu Mahakarya mencipta satu pencapaian peribadi yang baru buat beliau apabila berjaya menduduki carta trending di YouTube Malaysia selepas lebih 24 jam diterbitkan.

Bercerita mengenai lagu itu, penyanyi berkacukan Melayu-Cina itu melihat lagu Mahakarya sebagai sebuah karya yang membawakan mesej kebangkitan setelah terus-menerus jatuh dalam kehidupan. 

Laras bahasa pada liriknya yang lembut dan seakan memujuk menjadikan Mahakarya sebuah lagu yang mampu memberikan inspirasi kepada para pendengar untuk terus berjuang. 

Bagi Aniq, beliau merasakan Mahakarya seakan menggambarkan keadaan beliau sebelum ini yang terkesan berikutan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan pertama pada Mac tahun lalu. 

“Hingga Saat Akhir keluar 2 hari sebelum pengumuman PKP pertama dibuat oleh YAB Perdana Menteri. Akibatnya banyak yang dirancang untuk single itu terpaksa dibatalkan dan tim produksi terpaksa membuat perancangan baru dalam suasana yang tiada siapa dapat menjangka apa yang akan berlaku. 

“Situasi ini sedikit sebanyak memberi impak terhadap sambutan Hingga Saat Akhir dan diri saya sendiri pada ketika itu. Sejujurnya saya serba salah. Banyak yang telah dilaburkan. Ditambah pula PKP buat pertama kalinya dijalankan. Saya buntu. Masa tu dalam kepala asyik fikir betapa saya telah kecewakan kru dan sahabat-sahabat di Tarbiah Sentap Records. 

“Alhamdulillah, saya berasa amat bersyukur dikurniakan sahabat-sahabat seperti Ustaz Adnin dan Akmal yang tidak jemu mememberikan bantuan serta kata-kata semangat untuk teruskan perjuangan. 

Tambah Aniq lagi, Mahakarya bukan sekadar lagu biasa. Bahkan ia adalah sebuah karya pujukan kepada diri yang telah berulang kali diuji namun masih kuat berdiri sehingga ke hari ini. Malah tanpa sedar kekuatan bagi menghadapi ujian itu adalah hasil kebergantungan kepada Sang Penyusun atur cerita hidup yang di penghujungnya terhasil sebuah mahakarya. 


“Seperti mesej di dalam Mahakarya, hari ini lagu Hingga Saat Akhir berada di kedudukan nombor 1 di beberapa carta lagu di stesen radio tempatan termasuk carta nasyid IKIM dan carta Zayan FM. Malah lagu Mazhab Cinta yang turut menampilkan saya menjadi juara di carta Salam FM. Aniq yang turut dinobatkan sebagai Artis Nasyid Baharu Pilihan di malam Anugerah Nasyid Malaysia tahun lalu merasakan setiap cabaran yang dilaluinya memiliki hikmahnya yang tersendiri. 

“Semua yang berlaku ada hikmahnya. Bunyi macam cliche tapi itulah hakikat yang saya rasai hari ini. Memiliki sahabat yang baik, peminat Muhaiminians dan fans Tarbiah Sentap yang sentiasa supportive itu semua suatu rahmat yang tidak akan saya lupakan,' ujar Aniq Muhai lagi.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling