Rindu Humaira’ Paduan Mantap Munif Hijjaz & Maliq Suhaimi


Nama Munif Hijjaz sememangnya cukup sinonim dengan kekuatan vokal tingginya. 

Malah, kekuatan nyanyian kumpulan nasyid Hijjaz majoriti disandarkan kepada Munif selaku vokal utama sejak kumpulan itu ditubuhkan.

Setelah kejayaan lagu Selimut Putih 2021, Agung Cintamu, serta Kau Guru Murabbi Sejati, Munif Hijjaz meneruskan masterpiece terbarunya untuk tahun 2021 ini dengan lagu Rindu Humaira’.

Kemunculan lagu-lagu secara solo bukan bermaksud Munif Hijjaz telah meninggalkan kumpulan nasyid otai tersebut.

Komitmen yang berlainan dalam kalangan anggota Hijjaz menjadi pendorong utama buat dirinya untuk bergerak secara solo di samping masih kekal bersama Hijjaz.

Rindu Humaira’ merupakan kolaborasi vokal antara Munif Hijjaz bersama Maliq Suhaimi. 

Rindu Humaira’ menyaksikan keserasian paduan vokal dua artis nasyid ini yang masing-masing mempunyai kemantapan vokal tersendiri. 

Pemilihan Maliq Suhaimi sebagai rakan duet tepat dengan alunan muzik yang dibawa menerusi Rindu Humaira’.


Lagu ciptaan Munif dan lirik nukilan Ustaz Pahrol Juoi ini turut menggabungkan para tenaga belakang tabir yang profesional.

Rakaman yang dijalankan di studio Ada Exist menggunakan khidmat pemuzik seperti Ca’an (piano), Faridzz Tagi (strings & solo violin), Ujang Exists (dram), Udin (gitar),  dan Penn (bass).

Lebih menarik, elemen muzik okestra turut mewarnai Rindu Humaira’ yang merupakan lagu dedikasi buat Saiyidatul Aisyah, isteri Rasulullah s.a.w.

Rindu Humaira’ ibarat satu hadiah buat mereka yang gemarkan lagu-lagu epik srikandi Islam. Apatah lagi ia dialunkan oleh Munif Hijjaz, satu nama yang sinonim dengan karya epik srikandi Islam buat anak-anak didiknya di bawah Hijjaz Records seperti Inteam, UNIC dan Mestica suatu ketika dahulu.

Susunan lirik yang puitis tapi mudah faham, serta alunan melodi yang segar menjadikan Rindu Humaira’ antara lagu wajib dengar bagi tahun 2021.

Selepas kemunculan Rindu Humaira’, Munif Hijjaz dijangkakan akan terus memeriahkan tahun 2021 dengan beberapa buah lagu lagi.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling