Penantian Album 5Forty2 Yang Berbaloi


Sekitar tahun 2011, nama kumpulan 5forty2 menjadi sebutan bagi para remaja. Bait lirik "Mari dengar cerita budak-budak zaman sekarang" menerusi lagu Ushahidu (Budak Zaman Sekarang) telah menaikkan nama 5forty2 kerana liriknya yang pedas dan sesuai dengan masalah sosial remaja ketika itu.

Setelah menanti sekian lama bagi meriliskan album sendiri, penantian 5forty2 berakhir apabila album sulung mereka berjudul 54200 berjaya diriliskan pada Disember 2022. 

Menurut 5forty2 menerusi catatan di laman sosial Facebook mereka, album 54200 mula dirakam sekitar tahun 2011 hingga 2012. Namun, album ini tertangguh ekoran beberapa masalah teknikal.

"5forty2 terpaksa melalui fasa hiatus kerana sistem laptop yang menyimpan semua fail rakaman tegendala, bila kitorang hantar baiki dan dapat balik laptop, semua files rakaman kitorang berselerak dan kebanyakan files untuk beat kitorang tak dapat diselamatkan. 

Ada juga beberapa lagu yang tak dapat diselamatkan langsung. Mungkin ada hikmah korang tak dapat dengar lagu-lagu yang tak diselamatkan tu. Producer kitorang terpaksa mengambil masa yang lama untuk susun balik semua files satu-persatu dari kosong.Akhirnya semua lagu dapat disiapkan pada tahun 2020. Kemudian kitorang mengambil masa untuk design album dengan teliti," menurut cerita mereka. 

ALBUM: 54200  | ARTIS: 5FORTY2
© 2022 5FORTY2

Album 54200 memuatkan 16 trek iaitu Rapformasi, H.I.P.H.O.P, Skit 1, Perasap, Lawan Tetap Lawan, Skit 2, Adakah Harapan, Raja'a, Skit 3, 542 Cypher, Buah Keramat, Lihat Dunia, Nushahidu, Outro, Traffic Jam - 2022 Remastered Version, dan Kita Mesti Menang. 

54200 bukanlah sekadar album tangkap muat. Susunan muzik, vokal serta susun atur bait lirik bagi setiap lagu dalam album ini dibuat dengan teliti. Pedas dan padu, itu gambaran mudah apabila menghayati album ini secara total. Kerja keras yang dilakukan 5forty2 selama hampir 12 tahun penantian album ini nyata berbaloi. 

Pemilihan judul 54200 merupakan satu simbolik perjalanan 5forty2 memandangkan angka tersebut merupakan poskod kawasan Keramat, Kuala Lumpur yang merupakan tapak asal kumpulan ini. Malah, kulit album 54200 juga berlatarkan peta kawasan Keramat.

SEJARAH 5FORTY2

Perjalanan 5forty2 bermula pada tahun 2002 dengan tiga orang adik-beradik yang berasal dari Taman Keramat, Kuala Lumpur. Lokasi inilah menjadi 'markas utama' bagi 5forty2 bergerak.

G-Bugz, E2-Z & Phonicbugz (kini Orfeus, RyFa & Phonic) merupakan line-up pertama 5forty2. 

G (kini Gwa) adalah orang luar pertama menyertai 5forty2 diikuti oleh CypherDefect (kini WizzDome). Sxph dan seorang individu bernama Raqeeb juga direkrut masuk tetapi tak lama kemudian 5forty2 menjadi tidak aktif. Akhirnya, mereka berdua mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing dan meninggalkan 5forty2. 

Tak lama kemudian, DMent Si Lain yang menetap di Perlis dihidu dan direkrut oleh Phonic. NaraMerah direkrut sekitar waktu yang sama dengan DMent Si Lain. Kemudian Phonic sekali lagi berjaya menghidu bakat dan merekrut seorang individu dari Kuantan yang bernama Recordnice. 

Kini, 5forty2 dianggotai Orfeus, WizzDome, Phonic, DMent Si Lain dan NaraMerah.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling