Judul : Dalil Cinta
Artis: Rabithah feat Fitri Haris
Lirik: Akmal Mustafa & Hasif Sazali
Lagu: Akmal Mustafa
Label: 2021 | Tarbiah Sentap Records
Jika sebelum ini karya-karya mereka lebih mengutarakan isu remaja, namun kali ini gandingan dua penulis lirik, Akmal Mustafa dan Hasif Sazali, memilih isu kesihatan mental yang kian menjadi barah dalam kalangan masyarakat.
Dalil Cinta membuka tirai tahun 2021 buat Rabithah. Kali ini, kumpulan yang pernah menjadi calon Artis Nasyid Pilihan dalam Anugerah Nasyid Malaysia 2020 ini berkolaborasi vokal bersama Dr. Fitri Haris, Juara Gema Gegar Vaganza Musim Kedua.
Tidak boleh dinafikan kumpulan Rabithah mempunyai identiti vokal tersendiri. Walaupun kurang menyerlah dalam media massa, namun kehadiran Rabithah telah diterima oleh para pendengar yang kini lebih tertumpu kepada pasaran digital.
Kejayaan meraih bilangan tontonan melebihi 100,000 dalam tempoh seminggu selepas dilancarkan membuktikan Rabithah mempunyai segmen peminatnya yang tersendiri.
Pemilihan Dr. Fitri Haris sebagai gandingan suara menambahkan lagi kekuatan lagu Dalil Cinta. Paduan suara harmoni Rabithah, ditambah dengan kelunakan suara Dr Fitri Haris melahirkan satu impak yang tidak membosankan apabila mendengar karya ini.
Lirik yang digunakan juga tidak terlalu puitis, lebih mudah untuk faham mesej yang cuba disampaikan.
Nyata lagu terbitan Tarbiah Sentap Records tidak mengecewakan, sama seperti karya-karya terbitan mereka sebelum ini.
Dalil Cinta lebih berpaksikan kata-kata berikut:
"Kadang tanda cinta Allah terhadap seseorang itu adalah ketika Dia membiarkan hatinya hancur berkali-kali sampai tiada harapan lagi di dunia ini. Dan itu menjadikan seseorang mempunyai harapan hanya untuk Allah."-Syeikh Abdul Qadir Jailani
Untuk rekod, ini merupakan kolaborasi kedua di antara Rabithah dan juga Fitri Haris selepas kerjasama pertama mereka menerusi lagu ‘Hatiku’ (Ice Cream versi dakwah) nyanyian asal Blackpink dan Selena Gomez berjaya menggemparkan dunia hiburan.
Lagu Dalil Cinta juga turut diadaptasi dalam filem pendek 'PRESENT' terbitan Tarbiah Sentap.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.