Areef, bukan satu nama baru dalam industri muzik nasyid Malaysia.
Mula mencipta nama melalui lagu Cinta Halal pada tahun 2015, Areef juga pernah tampil dengan dua buah album iaitu 365 (album digital) dan The Album (album fizikal).
Trend penerbitan single turut mempengaruhi Areef. Antara single yang pernah dihasilkan Areef ialah Cinta Halal, Penjara, Sakit dan banyak lagi.
Malah, lagu Sakit (2018) turut dinobatkan sebagai Rakaman Lagu Terbaik dalam Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020.
Setelah menghilang seketika dari aktiviti solo, penyanyi berimej santai ini tampil dengan lagu terbaru, Bulan Menghilang.
Ciptaan sepenuhnya oleh Areef, Bulan Menghilang menampilkan lirikal yang penuh puitis.
Mengetengahkan muzik akustik yang santai, lagu ini bersinopsiskan kepada sebuah kisah persahabatan yang berliku.
“Bulan yang dimaksudkan dalam lagu ini adalah kawan. Bulan itu ibarat peneman sejati yang bisa mendengar. Betul-betul mendengar.
Bukan mendengar untuk berbicara.
Sudah ketetapan, dunia ini harus berputar jua akhirnya. Lalu bulan akan menghilangkan diri tanpa kita sedar dibuai enaknya mimpi,” coret Areef di laman sesawang rasminya.
Lebih menarik, lagu Bulan Menghilang turut dijadikan lagu rasmi bagi koleksi busana ‘Bulan Edition’ keluaran Zahiras milik isteri Areef, Zahirah Zamree.
Dilancarkan sejak 5 Mac 2021, Bulan Menghilang telah mencatat angka lebih 4 ribu jumlah tontonan sejak dilancarkan di platform Youtube.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.