AL-QUDS LANA | INTEAM
Lagu: Ibrahim Al-Ahmad
Lirik: Ibrahim Al-Ahmad (Arab), Fedtri Yahya (Melayu)
© 2021 | INTEAM RECORDS
Pandemik virus COVID-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia tidak menghalang kumpulan nasyid Inteam untuk terus menghasilkan single baru berjudul Al-Quds Lana.
Pembikinan dan produksi single Al-Quds Lana ini mendapat tajaan sepenuhnya dan sebahagian kosnya juga ditanggung oleh Inteam Digital sendiri.
Lebih membanggakan, lagu yang bermaksud Al-Quds (Baitul Maqdis) milik kami, turut kedengaran bergema di bumi Gaza, Palestin di dalam sebuah perkongsian video ketika program sembelihan korban di sana.
“Alhamdulillah, single baru kami yang diterbitkan bersama gabungan NGO MyAqsa Defenders baru sahaja dilancarkan pada Hari Raya Aidiladha yang kedua dan kami melihat satu video di mana lagu tersebut berkumandang di Gaza dalam sebuah program sembelihan korban. Kami sangat terharu dan bersyukur,” ujar Syah selaku ketua kumpulan Inteam.
Salah seorang anggota Inteam, Hazamin, pula menceritakan tentang proses penerbitan single tersebut di saat pandemik.
“Alhamdulillah, kami sempat merakamkan suara dan muzik video bagi projek ini sebelum PKPD diumumkan bahkan muzik video dirakam secara layar hijau bagi mengelakkan perkumpulan serentak keempat-empat anggota kumpulan Inteam. Kami cuma digabungkan berempat di dalam video dengan bantuan grafik.”
Lagu Al-Quds Lana yang diolah semula daripada sebuah lagu lama berbahasa Arab berkaitan perjuangan Palestin turut mendapat sentuhan puitis dari penulis lirik hebat Fedtri Yahya bagi bait-bait lirik Bahasa Melayunya.
“Sewaktu kami menghubungi Fedtri Yahya bagi menggubah lirik lagu ini, beliau tidak menolak bahkan turut gembira dapat turut sama dalam membina kesedaran dan menaikkan semangat masyarakat berkaitan isu Palestin,” ujar Rahim Inteam pula.
“Fedtri Yahya juga merupakan di antara selebriti yang sentiasa berkongsi hantaran berkenaan maklumat terkini mengenai Palestin di media sosial beliau, bahkan beliau juga salah seorang ikon MyAqsa Defenders,”tambah Rahim.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MyAqsa Defenders kerana sudi bekerjasama dengan kami selaku penerbit bersama lagu ni, juga kepada penaja produksi iaitu Azlan Al-Amin Group Holdings dan semua yang terlibat secara belakang tabir mahupun peminat yang telah menonton dan menyebarkan video muzik lagu ini kepada umum” tambah Hazamin lagi.
Single Al-Quds Lana telah dilancarkan di dalam sebuah majlis pelancaran secara atas talian pada 21 Julai 2021 yang lalu beserta pelancaran E-Book berjudul 100 Hujjah #AlQudsKitaPunya.
Single tersebut telah mencecah lebih 20,000 tontonan di Youtube sejak dilancarkan, dan kini boleh ditonton di Youtube Inteam Digital.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.