Kejayaan projek kolaborasi lagu “Jangan Menghina” pada tahun 2016 menjadi pemangkin buat Smileyriver Online (Smileyriver) untuk menggabungkan dua nama besar dari dua genre berbeza – Inteam (pop nasyid) dan Sam Bunkface (punk rock) dalam satu lagi projek terbarunya, Mencari Sinar.
Kali ini, mesej ‘penghijrahan’ diketengahkan bagi lagu Mencari Sinar. Lagu ini dilancarkan bersempena Ramadan kali ini, sesuai dengan mood bulan keampunan dan penghijrahan.
Mencari Sinar merupakan sebuah karya asal yang dicipta sepenuhnya oleh Allahyarham Ahmadi Hassan, seorang penyanyi era 70an dan 80an yang menghasilkan banyak lagu dakwah.
Difahamkan, lagu ini merupakan salah sebuah karya terakhir Allahyarham yang belum pernah dirakam sebelum ini.
Lebih menarik, inilah satu-satunya karya ciptaan Allahyarham yang diselitkan elemen rap di dalamnya. Elemen ini telah melalui proses improvisasi oleh Sam Bunkface bagi mengukuhkan lagi mesej yang terkandung di dalam liriknya.
Mencari Sinar turut menampilkan Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan. Proses adunan (mixing) telah menggunakan khidmat Epul Kuat, manakala mastering oleh Felix Voon. Video muzik Mencari Sinar pula diarahkan oleh Muhammad Iszee dari Clora Studio.
Pemilihan Inteam dan Sam Bunkface
Menurut Smileyriver, pemilihan Inteam dan Sam Bunkface untuk projek kali ini dibuat atas faktor kekuatan kedua-dua artis ini yang mempunyai segmen peminat tersendiri terutama golongan muda.
“Alhamdulillah, Inteam diberi kepercayaan oleh pihak Smileyriver sekali lagi berkolaborasi untuk lagu “Mencari Sinar”.
Menariknya, kali ini bersama dengan Sam Bunkface. Ini merupakan kali kedua Inteam bekerjasama dengan pihak Smileyriver dan pertama kali digandingkan dengan vokalis Bunkface.
Proses rakaman lagu “Mencari Sinar” tidak mengambil masa lama dan berjalan dengan baik. Seperti yang diberitahu, Sam Bunkface amat teruja dengan projek kali ini kerana pertama kali bergandingan dengan artis nasyid iaitu kumpulan Inteam.
Harapan Inteam semoga lagu “Mencari Sinar” mendapat sambutan di kalangan semua pendengar baru dan lama,” ujar kumpulan Inteam.
Dalam masa yang sama, Sam Bunkface turut meluahkan perasaannya selaku penerbit lagu ini.
“Sam pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface, tapi selalu tak jadi. Allah nak makbulkan doa Sam, tiba-tiba label Smileyriver approached untuk kolaborasi lagu Mencari Sinar. Doa Sam makbul dan Sam excited nak menyanyi sesuatu yang lain dari kebiasaan,” ujar Sam Bunkface.
Mencari Sinar merupakan sebuah naskah yang unik, yang lebih bersifat catchy secara keseluruhan. Kolaborasi dua artis ini patut diberi pujian. Bukan mudah menggabungkan paduan vokal artis nasyid bersama vokalis sebuah band.
Perkara ini diakui sendiri Sam Bunkface.
“Ini kali pertama Sam terbitkan lagu untuk kumpulan nasyid. Kolaborasi yang mencabar untuk Sam sebab kali pertama berkolaborasi dengan kumpulan nasyid.
Inteam boleh dikategori sebagai artis nasyid yang tidak jemu mencuba sesuatu kelainan. Lagu baharu sentiasa ada, selain Inteam banyak berkolaborasi dengan artis dari luar platform nasyid,” ulas Sam lagi.
Mencari Sinar mula berada di semua platform digital pada 9 April 2021.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.