Sebuah reunion, itulah gambaran tepat yang boleh dilontarkan buat kolaborasi Faizal Tahir dan kumpulan Mirwana.
Setelah 16 tahun tidak bersama, akhirnya Mirwana dan Faizal Tahir berkolaborasi menerusi rakaman semula lagu nalar segar, Aku Tanpa CintaMu 2021.
Menurut Faizal Tahir, tujuan utama kolaborasi ini adalah mengembalikan nostalgia serta tanda penghargaan buat Mirwana.
“Tanpa Mirwana tiadalah Faizal Tahir," ujar penyanyi itu.
Projek kolaborasi ini telah lama dirancang, iaitu sejak beberapa tahun lalu.
“Saya tahu ramai yang bertanya dan ingin kami bekerjasama semula. Saya rasa ini adalah waktu yang baik untuk mengeluarkan lagu ini,” katanya lagi.
![]() |
Faizal Tahir ketika bersama Mirwana |
Usia penglibatan Faizal Tahir bersama Mirwana berakhir pada tahun 2005 apabila dia mengambil keputusan bergerak solo. Setahun kemudian, Faizal menyertai pertandingan nyanyian realiti One In A Million dan sejak itu terus mengorak langkah sebagai penyanyi solo sehingga kini.
Selain menyanyi, Faizal Tahir juga mencipta nama sebagai komposer dan penerbit muzik dalam kelasnya tersendiri.
Mirwana pula terus bergerak sebagai kumpulan harmoni yang berjaya mencipta nama tersendiri.
Misalnya, lagu Aku Tanpa CintaMu membawa tuah kepada Mirwana dan Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005 lalu mengangkat mereka sebagai antara kumpulan nasyid paling popular ketika itu.
Bagi tahun 2021, rakaman semula karya sepenuhnya oleh Mujahid Abdul Wahab tersebut diberi nafas baharu.
Susunan muzik versi 2021 digubah oleh Adib Hussin dan Faizal sendiri dan diterbitkan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.
Aku Tanpa CintaMu 2021 menampilkan kelainan tersendiri berbanding versi asal. Susunan muzik yang lebih segar, serta kematangan vokal Mirwana dan Faizal Tahir terserlah.
Selain gubahan baru, muzik video Aku Tanpa CintaMu 2021 menampilkan mesej yang berbeza berbanding versi lama.
Kali ini, mereka mengangkat tema dan isu penderaan kanak-kanak yang perlu diberi perhatian segenap lapisan masyarakat.
Lagu Aku Tanpa CintaMu 2021 turu dimuatkan dalam album terbaru Faizal Tahir, Qibla, yang telah berada di pasaran.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.