Tiga bulan pertama tahun 2021, tema suami isteri merupakan antara tema pilihan mewarnai industri nasyid Malaysia. Dimulakan dengan Iqrar (UFL) pada Januari 2021, diikuti dengan Ada Kamu (Mizie Kamis) pada Februari 2021 yang lalu.
Tirai Mac 2021, tema suami isteri diteruskan lagi menerusi karya nyanyian daripada Shidee Khayran menerusi lagu Hadirmu.
Hadirmu merupakan ciptaan sepenuhnya daripada Ustaz Huri dan menggunakan khidmat Ruby Wahyu selaku susunan muzik. Rakaman yang dijalankan di Tarbiah Sentap Studio ini turut menggunakan tenaga Amin Nordin bagi kerja mixing dan mastering.
Hadirmu bukanlah kali pertama Shidee Khayran bekerjasama bersama Ustaz Huri. Pada tahun 2020, mereka berdua pernah berganding bahu sebagai pasangan duet menerusi lagu Tahabba Fillah.
Dalam lagu Hadirmu, kekuatan vokal Shidee Khayran diuji secara solo. Tak dinafikan lenggok vokal Shidee Khayran berada pada tahap yang baik. Bermelodikan muzik slow rock, Hadirmu terbukti mampu keluar daripada label nasyid kontemporari. Langkah ini sekurangnya mampu menjadi ramuan untuk menarik minat golongan muda kini untuk 'layan' lagu yang positif.
Pemilihan figura dakwah Imam Muda Nazrul, isteri dan anak-anaknya selaku pemain watak utama dalam lakonan klip video Hadirmu turut menjadi tarikan penonton. Lokasi pilihan untuk klip video ini ialah The Ark Lumut, Tanjung Kepah Lekir dan Rania Beach Teluk Senangin, Perak.
Sedikit info berkaitan Shidee Khayran. Shidee atau nama sebenarnya, Mohammad Masyudee A. Shahar, merupakan salah seorang anggota kumpulan nasyid Khayran.
Selain Shidee, Khayran turut dianggotai tiga lagi anggota iaitu Isham Ismail, Helmi dan El Haneff. Kumpulan nasyid mula ditubuhkan ketika mereka masih bersekolah di Maktab Mahmud Alor Setar. Pada tahun 2018, Khayran pernah tampil dengan single berjudul Cinta Sejati.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.