Apresiasi Inteam Buat Peminat


Sedar atau tidak, usia kumpulan Inteam telah mencecah 20 tahun. Kalau kiraan tersebut diguna pakai untuk manusia, 20 tahun sudah capai usia matang.

Pahit manis yang dilalui Inteam akhirnya diterjemahkan dalam bentuk penghargaan buat para peminat. 

Pada 12 Disember 2020 yang lalu, Inteam buat julung kali mengadakan Konsert 20 Tahun Inteam secara virtual. Konsert ini diadakan sebagai tanda menghargai sokongan para peminat selama mereka berada dalam industri nasyid ini.


Bertempat di Warisan Hall Studio, konsert kali ini tidak melibatkan para penonton memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dikuat kuasakan di negeri Selangor.

Persembahan lebih daripada 20 buah lagu bukan sesuatu yang mudah. Namun, demi menghargai sokongan para peminat, Inteam sanggup melakukan yang terbaik.


Dengan harga serendah RM10, konsert kali ini turut membariskan artis-artis undangan seperti Zayne, Hijjaz, UNIC, Lah Ahmad, Ikhwan Fatana, Exists, Khai Bahar, dan Fitri Haris.

TERIMA KASIH: APRESIASI BUAT PEMINAT

Selain mendendangkan lagu-lagu malar segar, Inteam turut menyampaikan sebuah lagu baru yang dihadiahkan untuk para peminat.


Terima Kasih, karya ciptaan Ikhwan Fatana dan Wan Saleh manakala lirik oleh Ikhwan Fatana, merupakan apresiasi khas daripada Inteam buat peminat serta barisan hadapan yang bertungkus lumus menabur bakti dalam menghadapi pandemik COVID-19.


Terima kasih. Ucapan yang paling berharga. Menunjukkan cinta. Memaparkan apresiasi. Mengenang jasa. Dari kita semua. Ditujukan kepada sesiapa jua. Tuhan kita. Nabi kita. Ibu bapa. Keluarga. Sahabat. Peminat. 

Alunan lagu yang didendangkan secara duet bersama Ikhwan Fatana ini lebih ke arah muzik R&B. Sekali dengar, tak sama seperti nasyid-nasyid kontemporari yang pernah mereka hasilkan sebelum ini. 

Percubaan Inteam ini berjaya. Kelainan yang ditampilkan dalam setiap single terbaru menyerlahkan kematangan mereka dalam industri nasyid ini.


Selain single Terima Kasih, Inteam turut menerbitkan album 20 Tahun yang menghimpunkan semua 129 buah lagu dari semua album yang pernah mereka hasilkan sepanjang berada dalam industri nasyid.

Perkembangan terkini Inteam boleh diketahui melalui laman sosial Facebook Inteam, saluran Youtube 'Inteam Digital' atau laman web rasmi, inteam.my.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling