Selimut Kasih Juara Anugerah Carta 114


Teka teki tentang pemenang Anugerah Carta 114 (AC114) bagi stesen televisyen AlHijrah telah terjawab apabila lagu Selimut Kasih dendangan kumpulan Inteam dengan bait lirik oleh Fedtri Yahya dinobat sebagai juara Anugerah Carta 114. 

Kemenangan itu membolehkan Inteam membawa pulang hadiah utama wang tunai RM20,000 beserta trofi. 

Selain itu, Inteam juga terpilih sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik menerusi lagu yang sama sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 berserta trofi. Ketua Juri, Farihin Abdul Fatah memuji kebolehan vokal Hisyam Ahmad dalam menyampaikan keseluruhan lagu dengan cemerlang walaupun menyanyi secara solo tanpa ditemani anggota lain kumpulan Inteam yang berada di Lubnan untuk misi kemanusiaan. 

"Walau berseorangan, penonton dan peminat tahu lantunan suara Hisyam adalah suara kumpulan Inteam. Vokal beliau yang jelas dan tepat memenuhi kriteria untuk bergelar juara. Selain itu, lirik Selimut Kasih sangat bertepatan dengan isu semasa. isu Palestin, kisah kemanusiaan menjadi antara faktor penyumbang untuk lagu ini diiktiraf juara," jelasnya.


Sementara itu, menurut Hisyam yang mewakili Inteam berkata dia sentiasa berhubung dengan anggota Inteam yang lain untuk mendapatkan komen dan pandangan sewaktu membuat latihan dan persiapan untuk Anugerah Carta 114. 

"Kebiasaannya, saya yang jarang dapat bersama mereka membuat persembahan kerana terikat dengan jadual kerja, namun kali ini saya pula yang keseorangan. Walau sudah bergelar penyanyi nasyid hampir 26 tahun lamanya, saya masih berasa gementar membuat persembahan tanpa anggota Inteam yang lain. Namun saya cuba yang terbaik," jelasnya.

Selain itu, AC114 yang julung kalinya disiarkan secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah turut menyaksikan kumpulan Ustaz Tiga Beradik yang dianggotai oleh 3 orang pendakwah adik-beradik iaitu Ustaz Zarifi, Ustaz Hariri dan Ustaz Ihsan berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Si Bujur Sireh.


Mereka bertiga membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi. Naskhah indah karya Fadzli Fareast, Amy Bong dan Hazalinda Harun ini berkisar tentang penerimaan seorang bapa terhadap anak istimewa anugerah Allah sebagai amanah yang perlu dijaga sebaiknya. Penampilan istimewa Anas Amini, anak istimewa Ustaz Zarifi sewaktu kumpulan ini membuat persembahan meruntun jiwa penonton di studio hinggakan ada yang mengalirkan air mata.

Penerbit Bersama AC114, Azhary Ahmad memberitahu penjurian kesemua finalis Carta 114 diadili berdasarkan beberapa kriteria seperti kesepaduan lirik, melodi, evergreen dan relevan.

"Inteam memperoleh markah sebanyak 78 peratus (%) sekali gus meletakkannya di tangga paling atas, mengenepikan Fitri Haris dengan beza markah hanya sebanyak 1.67 peratus (%). Musim kedua Carta 114 akan disiarkan pada 17 Februari akan datang. Saya pohon sokongan penonton untuk terus menonton musim baru. Kita sama-sama bantu mengangkat martabat seni suara dan lagu Islamik," jelasnya.

Penulis lirik terkenal, Ito Lara juga dipilih sebagai penerima Anugerah khas Carta 114, lantas menerima RM5,000 berserta trofi. AC114 yang disiarkan pada Sabtu, 13 Januari lalu dihoskan oleh Jalal Zaiki dan Amin Idris.


Rancangan ini turut menyaksikan penghibur baru dan lama di dalam industri hiburan membuat persembahan. Antaranya ialah Amir Ukays, Syafiq Farhain, Aris Ariwatan dan kumpulan Raihan. Lah Ahmad dan Amran Omar pula hadir sebagai juri.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling