Memori Saat Terindah Kumpulan Firdaus


Mereka pernah hadir sebari dengan garis masa kemunculan nama-nama nasyid komersial Malaysia seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz sekitar tahun 1997. Nama Firdaus hadir diketengahkan oleh syarikat Suria Records, label yang turut menaungi artis-artis hebat Malaysia seperti Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan Liza Hanim ketika itu.

Firdaus ditubuhkan pada tahun 1995 di Pusat Matrikulasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan nama asal De Firdaus. Pada awalnya, kumpulan ini bernaung di bawah Unit Kesenian, Persatuan Pelajar Islam, Pusat Matrikulasi, UUM. 

Ilham penubuhan Firdaus dimulakan oleh Kumpulan ini diilhamkan oleh Mohd. Khairil Azrin Rafli (ketua kumpulan ketika itu),  salah seorang bekas anggota kumpulan Suara SMAKL dan juga kumpulan Anugerah. Pengalaman yang ditimba olehnya menerusi dua album sewaktu persekolahan, telah dicurahkan untuk memajukan kumpulan ini. 

Pada awalnya, kumpulan ini sekadar membuat persembahan untuk majlis-majlis anjuran persatuan, kolej-kolej di UUM serta sekolah-sekolah di sekitar utara semenanjung Malaysia. Mereka juga menyertai pertandingan-pertandingan nasyid anjuran pelbagai IPT di seluruh negara. 

Perjalanan komersial mereka bermula apabila Mujahid Abd Wahab (Nowseeheart) memperkenalkan kumpulan ini kepada wakil syarikat rakaman Suria Records (SRC). 

Setelah melalui pelbagai sesi ujibakat di bawah bimbingan En Adnan Abu Hassan akhirnya pada 1 Ogos 1997, enam orang anggota kumpulan ini telah menandatangani perjanjian kontrak sebagai artis SRC dengan nama FIRDAUS. 

Memori Firdaus pada awal kemunculan

Ketika itu, Firdaus dibarisi 6 orang anggota itu ialah, Mohamad Ismandi Wasli, Mohd. Idzwan Yacob, Mohd. Khairil Azrin Rafli, Mohamad Rasul Mohd. Noor, Syed Fadilah Syed Alias dan Mohd. Tarmidi Mahli. 

DISKOGRAFI ALBUM FIRDAUS

Keampunan, album sulung kumpulan ini telah diterbitkan oleh Ahmad Sharani Ismail bermula pada 3 Mac 1998. Lagu yang hits dalam album ini ialah Permata Ayah Bonda dan Keampunan. Konsep album ini lebih kepada nasyid kontemporari.

Album pertama, Keampunan.

Antara komposer yang telah memberikan sentuhan mereka di dalam album ini ialah Adnan Abu Hassan, Yassin dan Isman (Hijjaz).  Jualan album Keampunan yang membanggakan, mendorong syarikat rakaman mereka untuk menghasilkan album kedua kumpulan Firdaus. 

Album kedua, Fisabilillah

Fisabilillah, album kedua Firdaus yang menampilkan konsep irama etnik kreatif seperti irama padang pasir, zapin, rebana keras dan sebagainya. Album kali ini menampilkan sentuhan penerbit yang pernah menjulang anugerah Album Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2000 iaitu Allahyarham Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah. 

Fisabilillah yang diterbitkan pada 16 Oktober 2000, menampilkan 4 anggota Firdaus kerana dua anggota asal kumpulan ini iaitu Khairil Azrin dan Syed Fadillah telahpun menarik diri. Lagu hits dalam album ini, Wudhuk, Fisabillah dan Solat.

Pada penghujung tahun 2002, Firdaus mula berubah arah muzik ke arah genre pop. Album ketiga yang juga album terakhir bersama SRC, Cinta & Harapan diterbitkan.

Album ketiga, Cinta & Harapan.

Album ini menampilkan sentuhan penerbit Isman Nadim (Hijjaz) dan juga Mujahid Abd. Wahab (Nowseeheart). Barisan komposer yang hebat seperti Isman Nadim, Mujahid, Ajai, Alfa Booty, Khairil Azrin, Trabye dan Rosli Selaseh, menjadikan album ini lebih dekat dengan jiwa kelompok belia. 

Setelah album ketiga keluar, Firdaus tidak meneruskan kontrak bersama SRC. Mereka bergerak sendiri di bawah syarikat De Firdausi Entertainment. 

Transformasi muzik dan imej Firdaus diteruskan melalui album keempat, Dunia Yang Lebih Indah. Kali ini, imej berkopiah ditinggalkan. Konsep muzik yang lebih universal dengan saduran pop, R&B dan hip hop diselitkan dalam album jni. 

Album Dunia Yang Lebih Indah

Album ini membarisi Ismandi, Tarmidi, Idzwan dan Fairuz sebagai anggota Firdaus.

Antara lagu hits dalam album ini ialah Ku Berlari (feat Cart Farish dan Akbar), Menangislah Di Bahuku, dan Dunia Yang Lebih Indah. Lagu-lagu ini tersebut telah mendapat perhatian peminat dan sering diputarkan di corong-corong radio. 

Album keempat Firdaus ini telahpun tercalon di dalam AIM bagi kategori Album Nasyid Terbaik dan kumpulan Firdaus sendiri telah tercalon dalam kategori Vokal Terbaik Berkumpulan. 

Album Saat Terindah

Kemuncak transformasi Firdaus adalah menerusi album kelima, Saat Terindah. Kali ini imej nasyid Firdaus ‘hilang’. Album ini lebih kepada konsep ‘band boy’. Kualiti muzik album ini adalah yang terbaik berbanding empat album mereka sebelum ini.



Album tersebut telahpun dilancarkan pada 30 Mei 2012 dan memuatkan sembilan buah lagu baharu seperti Sabar Sajalah, Pahlawan Patah Hati, Kerna-Nya Aku Menolakmu, Haluanku, Masihkah Ada Cinta, Laksana Impian, Semua Milik Kita, Ku Bersaksi dan Saat Terindah.

Energi Firdaus bertambah apabila Anas Tahir, yang pernah bersama Far East, menyertai Firdaus menerusi album kelima ini. 

SAHABAT FIRDAUS & KONSERT HARUMAN FIRDAUS

Jika Hijjaz mempunyai Sahabat Hijjaz, Inteam mempunyai Komuniti Teman Inteam (KTI), Firdaus juga memiliki kelab peminatnya, Sahabat Firdaus. Kelab ini merupakan antara sayap yang membantu Firdaus terbang suatu ketika dahulu.

Selain kelab peminat, ruang dan peluang sebagai kakitangan UUM turut dimanfaatkan apabila saban tahun dianjurkan konsert Haruman Firdaus di universiti tersebut.

Nama Firdaus sepi selepas kehadiran album Saat Terindah.Walaupun kualiti album ini adalah yang terbaik pernah mereka hasilkan, namun hayat Firdaus tidak berterusan. Album ini menjadi persis judulnya, saat terindah yang pernah mereka ada dalam industri muzik.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling