Folk Nusantara Dewangga Sakti Dalam Arus Deras


ARUS DERAS | DEWANGGA SAKTI
 
 © 2021 | Himawari Records

Dewangga Sakti, satu nama yang telah wujud sejak tahun 2000 dalam industri muzik Malaysia. Tatkala genre muzik folk (etnik kreatif) kelihatan suram, kumpulan ini masih tekad mempertahankan warisan muzik tersebut.

Pernah muncul dengan album mini berjudul Mabok Kepayang pada tahun 2008, kali ini mereka tampil dengan album penuh berjudul Arus Deras.

Arus Deras merupakan sebuah album penuh yang menampilkan 11 buah lagu berkonsepkan folk yang pekat dengan jiwa Melayu dan nusantara, disulam dengan bait lirik yang indah dan bermesejkan positif.

Barisan anak kapal Dewangga Sakti

Dewangga Sakti yang bermaksud kain atau persalinan (sutera) yang mempunyai kuasa ajaib. Penerusan elemen folk nusantara dalam Arus Deras disadurkan bersama alunan muzik kontemporari agar kedengaran segar dan moden.

11 buah trek yang terkandung dalam naskah Arus Deras ialah Jalan Gombak, Lupus, Waktu Kecil Kita, IV, Langit Merah, Ophir, VII, Rahmat Di Jagatraya, Malaysia Sejahtera, Al-‘Iksir dan Ronggeng Putrajaya.

Melayani setiap lagu dalam Arus Deras membawa pendengar untuk meneroka dunia Melayu tanpa rasa bosan. Ada bunyi gambus, ada bunyi seruling, ada bunyi gendang. 

11 trek dalam ArusMembuka tirai album ini adalah tiga buah lagu yang bersifat ‘campak belakang’ (throwback) tentang nostalgia kumpulan ini.

Dari segi tema , album ini menampilkan variasi tema seperti memori kehidupan, ketuhanan dan patriotik. Variasi corak penulisan lirik misalnya ada lirik yang mudah faham, dan ada yang perlu diteliti mendalam dek kerana terlalu puitis dan berfalsafah.

Semua lagu dan lirik dicipta dan ditulis oleh ahli kumpulan sendiri kecuali untuk lagu Lupus yang liriknya ditulis oleh Fazli Ibrahim.

Selain pasaran digital, album ini turut diterbitkan secara fizikal berbentuk digital pack, yang turut hadir bersama 32 muka surat buku lirik dan dua keping foto mereka.

Grafik yang indah, dengan segala kualiti rakaman ini membuktikan hasil seni mereka ini bukan kerja main-main. Jika tercari-cari kelainan dalam seni hiburan dewasa kini, Arus Deras adalah jawapannya.

Album terbitan Himawari Records ini boleh didapatkan secara fizikal melalui Facebook ketua kumpulan mereka, Zulkifli Ramli. Arus Deras, arus yang tidak melalaikan!

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling