Lagu: WM Hazimin, Sofi CH, Amirul R | Lirik :Eli Haron, WM Haikal
© 2021 | Ghufran
Bergerak secara 'indie', kumpulan yang dibarisi empat anggota ini tampil dengan single kedua mereka, Khalid Al-Walid.
Kehadiran lagu Khalid Al-Walid ini merupakan kesinambungan perjuangan serius Ghufran dalam industri nasyid Malaysia. Sebelum ini, mereka pernah tampil dengan single pertama berjudul Jiwa al-Quran pada tahun 2020.
Bertemakan sirah sahabat Rasulullah, lagu ini merupakan sinopsis tentang perjalanan pahlawan Islam iaitu Khalid Al-Walid. Bait lirik yang ditulis tidak sukar untuk difahamkan. Kisah keperibadian Khalid Al-Walid dikisahkan dengan literasi yang jelas, tanpa bahasa puitis yang tinggi. Hanya dengan sekali dengar, mesej lagu ini mampu dihadam dengan baik.
Melodi lagu Khalid Al-Walid lebih ke arah nasyid kontemporari. Alunan melodi yang rancak sepanjang perjalanan lagu ini menjadikan ia segar dan tidak membosankan. Imej kumpulan nasyid sekolah yang sering kali disinonimkan dengan alunan muzik perkusi, namun Ghufran dilihat cuba keluar dari kepompong itu.
Status sebagai kumpulan nasyid 'indie' tidak kelihatan apabila menghayati karya-karya Ghufran. Imej yang telah dibina merupakan hasil bimbingan pengurus mereka yang juga merupakan seorang guru, Eli Haron. Beliau merupakan tunggak utama yang berusaha membawa Ghufran untuk lebih dikenali di luar kelompok kumpulan nasyid sekolah.
Langkah berkolaborasi bersama kumpulan nasyid Cahaya Hati merupakan satu langkah bijak. Cahaya Hati (CH) merupakan pejuang yang berjiwa kental dalam mempertahankan industri nasyid terutama di negeri Terengganu. Kelengkapan studio yang dimiliki CH serta kebolehan menghasilkan lagu telah banyak membantu bakat-bakat seni indie di Terengganu.
Difahamkan kumpulan Ghufran akan tampil dengan sebuah album tidak lama lagi hasil usaha bersama CH. Album ini dijangka akan memuatkan lima buah trek yang sudah pasti mampu memperkenalkan lagi bakat seni kumpulan ini dengan lebih terbuka dalam arena nasyid tanah air.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.