'Akur': Sentimen Kehambaan Daripada Adib Zahar

Judul : Akur
Artis : Adib Zahar
Lirik dan Lagu : Kuroy (Media Positif)
© 2021 Fusion Records MY

Tahun 2021 baru sahaja memasuki bulan Februari. Pesta muzik positif terus diraikan oleh bakat-bakat baru. Pandemik Coronavirus yang melanda bukan batu penghalang untuk bakat-bakat baru ini beraksi. Tambahan pula, era digital ibarat satu lesen untuk semua orang mencuba bakat masing-masing.

Tanggal 12 Februari 2021, Fusion Records secara rasmi meriliskan single sulung bakat baru, Adib Zahar, berjudul Akur. 

Lagu ini merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Kuroy dari Media Positif. Proses rakaman Akur telah dijalankan di Quantize Studio & Production menggunakan khidmat Ramzul Ikbar sebagai jururakam manakala Farred Zane (Damai and Friends) bertindak sebagai vokal latar.

Lebih menarik lagi, Akur menggunakan khidmat Kamarul, seorang lagi bakat baru, selaku penerbit. Kamarul sebelum ini telah menerbitkan single pertamanya, Kasih Tak Terlerai pada Januari 2021 yang lalu.

"Alhamdulillah, dengan izin Allah diberi peluang untuk keluarkan single yang pertama yang bertajuk Akur," ujar Adib Zahar di laman sosial Facebooknya.

Menurut Adib Zahar, Akur bersinopsiskan tentang sifat manusia yang tidak akan terlepas daripada membuat kesilapan dan mendapat ujian daripada Allah.

"Sebagai seorang manusia, tiada tempat yang lain kita boleh berharap hanya kepada Allah. Muhasabahlah diri kita sebagai manusia jika ada membuat sebarang kesilapan serta minta ampunlah dengan Allah. Semoga menjadikan kita sentiasa kembali kepada jalan yang betul," - Adib Zahar.

Beralaskan alunan muzik balada, Akur bukanlah sesuatu yang mengecewakan bagi seorang bakat baru seperti Adib Zahar. Formula yang tidak berat menjadikan lagu ini amat mudah dihadam oleh para pendengar.

Akur adalah satu rilisan yang berkualiti dari aspek melodi, lirik, susunan muzik dan audio rakaman. Secara tak langsung, rilisan ini menepis tanggapan bahawa material bersifat 'indie' itu dibuat secara ala kadar. 

Walaupun masih baru, namun vokal Adib Zahar ada keunikan tersendiri. Bimbingan daripada Amman (Damai & Friends) serta Farred Zane (Damai & Friends) nyata menjadi. Lenggok vokal Adib Zahar sesuai untuk melodi balada seperti lagu Akur ini.


Bagi material seni akan datang, Adib Zahar perlu mencabar diri sendiri bagi melantunkan vokal dengan lebih baik. Kehadiran Akur tidak bermakna Adib Zahar hanya perlu akur dengan kekuatan semasa vokalnya. Dinamika perlu ada bagi memastikan bakat seni terus relevan dan tidak terlalu mendatar.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling