Imbasan Kemunculan Singkat DeHearty


Sekitar tahun 2000, kemunculan pelbagai kumpulan nasyid yang terdiri daripada mahasiswa bak cendawan tumbuh selepas hujan. 

Kehadiran Inteam ibarat pencetus kelahiran beberapa artis nasyid lain. Tatkala nama mereka sedang naik, Inteam pernah digegarkan dengan pengunduran salah seorang anggota, Hisyam Ahmad ketika promosi album kedua Inteam, Impian Kasih, sedang rancak.

Lebih menggemparkan, langkah Hisyam menubuhkan DeHearty dan menghasilkan sebuah lagu berjudul Pasrah Segalanya, merancakkan suasana.

Pernah hati ini terguris 
Dengan fitnah dan tohmahan menghiris 
Sehingga terasa diri ini hina 
Kerna tiada siapa yang sudi membela

Bait lirik Pasrah Segalanya ini pernah menjadi tanda tanya ketika Hisyam hadir bersama DeHearty, setahun selepas berundur daripada Inteam.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Hisyam sendiri menjadi tanda tanya sehingga kini sama ada dituju kepada sesiapa atau sekadar kisah fiksyen semata-mata.

SEJARAH PENUBUHAN


Pengunduran Hisyam Ahmad daripada kumpulan Inteam pada tahun 2002 merupakan sesuatu yang mengejutkan apatah lagi nama Inteam tengah naik mendadak ketika itu.

Keunikan dan kekuatan vokal Hisyam menjadikan pengundurannya itu memberi sedikit kesan kepada Inteam. 

Di sebalik berundur daripada Inteam, Hisyam telah dilamar oleh label NAR Records untuk menubuhkan sebuah kumpulan nasyid baharu. Pada mulanya, NAR Records menawarkan Hisyam untuk menjadi artis rakaman mereka dan merakamkan album solo. 

Namun, Hisyam yang sudah biasa bergerak secara berkumpulan berasa tidak yakin untuk memulakan karier solo, lantas meminta NAR Records untuk menubuhkan kumpulan nasyid yang akan diketuai oleh beliau sendiri selaku penyanyi utama. 

Akhirnya NAR Records memberi persetujuan untuk Hisyam berbuat demikian dan bermulalah misi Hisyam untuk mencari 3 anggota bagi melengkapkan kumpulan yang akan ditubuhkan oleh beliau. 

 Hasil sesi ujibakat yang dilakukan oleh Hisyam, akhirnya beliau berjaya mendapatkan tiga ahli baharu iaitu Azrul Azlan (Azrul), Zulfahmi (Zul) dan Syadzwarie (Warie).

Nama asal kumpulan ini ialah Hearty. Ia membawa dua makna: dalam Bahasa Inggeris bermaksud: kesungguhan, tulus dan mesra. Sebutan Hearty ini menjadi "Hati" dalam bahasa Melayu. Untuk lebih menyedapkan lagi, ditambah menjadi DeHearty atau dalam bahasa Melayu: DiHati.

Proses rakaman album sulung.

DeHearty menandatangani kontrak bersama NAR Records pada 23 September 2003 untuk 3 tahun.

DISKOGRAFI ALBUM

Proses rakaman album sulung DeHearty bermula dari bulan November 2003 dan berakhir pada Januari 2004 di studio NAR Records. 

Album pertama, Di Hati (2004)

Album berjudul Di Hati ini memuatkan 10 trek iaitu Pasrah Segalanya, Inspirasi Hati, Di Hati, Bidadari Hidupku, Kembara Hidup, Kasih Sayang dan sebuah lagu sirah berjudul Abu Bakar as-Siddiq. 

Hampir 90% lagu dalam album ini dicipta oleh Hisyam sendiri.

Konsep album ini dilihat mirip seperti konsep muzik yang di bawa Inteam. Apatah lagi, vokal Hisyam masih dianggap sinonim dengan Inteam.

Album sulung ini turut mencatatkan kontroversi melalui lagu Pasrah Segalanya. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Hisyam ini dikatakan dituju buat Inteam berdasarkan pada keterangan di kulit album Di Hati itu.

Setahun kemudian, mereka telah menghasilkan album kedua, Insan Istimewa. Album ini melonjakkan lagi nama mereka dengan lagu-lagu hit seperti Wanita, Permata Yang Dicari, Cinta Bersulam Noda dan sebuah lagu sirah yang berjudul Siti Zulaikha. 

Album kedua, Insan Istimewa (2005)

Kali ini, konsep muzik DeHearty lebih luas. Mereka cuba membawa variasi genre seperti nasyid kontemporari,pop nasyid, dan balada.

Malah, beberapa komposer lain seperti Yasin Sulaiman, dilibatkan dalam album kali ini. 

KEMBALI KEPADA INTEAM

Pada tahun 2007, DeHearty telah menandatangani perjanjian bersama Inteam Records bagi membolehkan aktiviti seni mereka diuruskan syarikat tersebut setelah kontrak bersama NAR Records tamat.

Langkah ini dilihat titik permulaan penyatuan semula Hisyam bersama Inteam ekoran komitmen berbeza dalam kalangan anggota DeHearty.

Kemunculan Hisyam dalam album Nur Insani

Projek pertama Hisyam kembali bersama Inteam adalah menerusi album Nur Insani. Penerimaan peminat membolehkan Inteam meneruskan projek bersama Hisyam menerusi album Allahu Rabbi (2009) dan Iman & Aman (2013).

Surat Cinta, single pertama secara rasmi Hisyam kembali bersama Inteam.

Kalau dah jodoh, tak ke mana. Pada tahun 2015, Hisyam secara rasmi menyertai Inteam. Kembalinya Hisyam secara tak langsung menjadikan nama DeHearty tinggal sejarah tanpa nisan yang jelas.

Pada tahun 2020, Inteam mengubat kerinduan peminat terhadap lagu DeHearty apabila mereka merakamkan semula lagu hits DeHearty, Wanita dalam bentuk nafas baharu.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling