Harakat Madani Kesinambungan Perjuangan Al-Anwar


Kumpulan Harakat Madani muncul sekitar tahun 1998 semasa zaman kebangkitan semula nasyid secara komersial di Malaysia

Kumpulan ini merupakan kesinambungan bagi kumpulan Al-Anwar yang berpusat di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Semasa sesi Dialog EMI dan UKM 1998. Sumber: Harakat Madani

Al-Anwar ditubuhkan pada April 1995. Pada awal penubuhannya, Al-Anwar terdiri daripada mahasiswa di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kejayaan kumpulan Raihan (asalnya The Zikr) dalam industri hiburan Malaysia pada tahun 1997 menyebakan Al-Anwar turut ditransformasikan menjadi Harakat Madani.

Era nasyid baru yang bermula pada tahun 1997 merupakan zaman persimpangan dilema antara kumpulan nasyid tradisional dengan kontemporari. Apabila Raihan muncul pada tahun 1997, maka serpihan Nada Murni seperti Rabbani dan Hijjaz turut merakamkan album.

Menurut catatan salah seorang ahli Harakat Madani (Al-Anwar), Khairul Anuar, penubuhan Harakat Madani bertitik tolak daripada pelawaan Rabbani untuk menjadikan Al-Anwar sebagai sebuah kumpulan nasyid moden komersial.

Maka lahirlah kumpulan Harakat Madani hasil idea Almarhum Ustaz Sahibul Fadhil Sabikin.

RAKAMAN ALBUM HARAKAT MADANI

Album Muhammad Ya Habibi

Harakat Madani memulakan rakaman album melalui album kompilasi Muhammad Ya Habibi bersama Rabbani dan Yusof Islam terbitan EMI pada tahun 1998. Ketika itu, nama Yusof Islam tengah 'hot' dengan album-album ketuhanan terbitan EMI International.

Harakat Madani ini mempunyai dua fasa ahli. Fasa pertama, kumpulan ini terdiri daripada Ustaz Mohd Noor, Ustaz Ashaari Abdan, Ustaz Yunus, Ustaz Sobri dan Ustaz Khairul Anuar.

Fasa kedua pula menyaksikan Ustaz Sobri menarik diri, diganti oleh Ustaz Nor Mazlan.

Satu-satunya album solo Harakat Madani. Sumber: Koleksi CD

Album solo Harakat Madani hanya melibatkan album berbentuk tazkirah yang berjudul Kalamullah terbitan Permata Audio Production dan edaran EMI.

Album terakhir Harakat Madani

Pada tahun 1999, Harakat Madani tampil dengan album Ramadhan Remix, berkolaborasi bersama Rabbani. Album ini terbitan Permata Audio Production dan diedarkan oleh EMI.

Hayat Harakat Madani tak lama. Selepas album Ramadhan Remix, Harakat Madani pun berkubur tanpa nisan sekitar tahun 1999.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling