CINTA SEMENTARA THE ALBUM | THE TRUTH
℗ & © 2021 | TARBIAH SENTAP RECORDS
Energetik, harmoni dan varsatil. Tiga gambaran umum yang boleh diberikan kepada duo The Truth. Duo ini terdiri daripada Mohd Irwan Fariz Hassan Zaim (Irwan), dari Gurun, Kedah dan Mohd Naufal Mohamad Isa (Naufal), dari Kampar, Perak. Mereka merupakan lepasan pengajian Diploma Pengajian Islam di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.
Berpayung di bawah naungan Tarbiah Sentap Recods, perjalanan seni mereka bermula dengan penghasilan beberapa buah lagu 'cover' seperti Boy With Luv (BTS), Without Me (Halsey), Any Song (Zico) dan banyak lagi.yang ditukar lirik menjadi lirik Islamik, telah membawa mereka ke arus industri hiburan perdana. Akhirnya, bakat The Truth mendapat perhatian Ustaz Ahmad Adnin Roslan, selaku pengurus Tarbiah Sentap Records.
Kemunculan perdana mereka adalah menerusi lagu Cinta Sementara yang berjaya meraih lebih 450,000 tontonan di laman Youtube. Sejak itu, mereka terus tampil dengan beberapa buah lagu yang rata-rata mendapat bilangan tontonan melebihi 10 ribu.
Penerimaan para peminat telah membulatkan tekad The Truth untuk tampil dengan album sulung mereka, Cinta Sementara The Album. Album ini merupakan siri album terbitan Tarbiah Sentap Records yang memuatkan himpunan single The Truth serta beberapa buah lagu baharu.
Album ini memuatkan himpunan single yang pernah dinyanyikan mereka iaitu Optimis, Cinta Sementara, Tuhan Tolonglah Aku (ft. Aniq Muhai), Mazhab Cinta (ft artis Tarbiah Sentap), Bendera Putih (ft Rabithah), Bukti (ft Autotune Band), Doa Istiqamah (ft. Rabithah) dan Cinta Sementara (piano version).
Enggan dibelenggu dengan label nasyid tipikal, mereka telah membuktikannya menerusi setiap lagu yang terdapat dalam album ini. Variasi muzik sangat terserlah. Ada yang bergenre balada, R&B, pop malah tak dilupakan juga muzik ala raggae.
Hidangan muzik yang berbeza ini menjadikan album ini bukan dalam kategori 'ubat nyamuk'. Telinga sentiasa segar ditambah pula dengan bait-bait lirik yang positif dan bermotivasi.
Lebih menarik, karya-karya yang dinyanyikan duo ini turut mengikuti perkembangan isu semasa. Misalnya, lagu Bendera Putih yang didendangkan secara duet bersama Rabithah, hadir ekoran kempen yang pernah tular dalam kalangan masyarakat.
Imej bersahaja The Truth menambah perisa tarikan buat peminat terutama golongan muda. Maka tak hairanlah setiap lagu mereka mendapat tontonan yang menggalakkan terutama daripada golongan remaja.
Cinta Sementara The Album bukan sahaja diterbitkan secara digital, malah turut dikeluarkan secara fizikal (cakera padat) buat pengumpul tegar album fizikal.
Tiada yang mengecewakan jika melibatkan karya terbitan Tarbiah Sentap Records, satu label 'kilang muzik positif'. The Truth adalah satu lagi produk keluaran terbaik dari syarikat ini.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.