Zikir Terapi Acapella: Nafas Baharu Daripada Hafiz Hamidun


Album Zikir Terapi Diri yang diterbitkan pada tahun 2011 merupakan pencetus terhadap fenomena penerbitan album-album zikir terapi pada ketika itu. Kejayaan jualan melebihi 1.5 juta unit bagi album fizikal ketika itu telah mengangkat album alunan daripada Hafiz Hamidun itu sebagai antara album paling laris bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

Setelah sepuluh tahun album tersebut diterbitkan, Hafiz Hamidun telah mengambil keputusan untuk kembali ke studio dan merakamkan kembali album tersebut dalam versi acapella.

Kali ini, Hafiz Hamidun berdepan dengan proses penerbitan album yang mencabar ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan oleh kerajaan berikutan kes COVID-19 di Malaysia. Hafiz Hamidun terpaksa bekerja dari jarak jauh bersama jururakam bunyi berikutan keterbatasan dan kekangan operasi. 


Walaubagaimanapun, mengambil kira penggunaan teknologi sepenuhnya di dalam pembikinan album ini, ia telah sempurna dirakam, diadun dan melalui proses mastering selama sebulan.

“Album terbaharu ini merupakan kesinambungan dari kejayaan album Zikir Terapi Diri pada tahun 2011 di mana album fizikalnya telah berjaya dijual melebihi 1.5 juta unit di seluruh dunia dan mencatatkan lebih 100 juta tontonan dalam YouTube,” akui Hafiz.

Masih mengekalkan jumlah trek yang sama iaitu  Astaghfirullah, La Ilaha Illallah, Subhanallah, Taubatan Nasuha, Hasbi Rabbi, La Hawla Wa La, Alhamdulillah dan Ya Zaljala Ya Latif Allah.

Kemunculan album versi acapella ini ibarat memberi satu nafas baharu terhadap alunan zikir terapi yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik Islam Malaysia. Kelainannya hanyalah dari segi susunan muzik. Tanpa menggunakan alat muzik, Hafiz Hamidun telah berjaya membawakan alunan zikir dengan lebih syahdu menerusi album ini.

Zikir Terapi Acapella diterbitkan secara digital. Namun, difahamkan atas pemintaan para peminat, pihak Arteffects akan menerbitkan album ini secara fizikal (CD) secara terhad melalui platform Shopee.

Album Zikir Terapi Acapella telah diterbitkan sepenuhnya oleh Hafiz Hamidun dan merupakan kerjasama penerbitan di antara label miliknya Arteffects dan Universal Music Malaysia. Hafiz Hamidun diurus dan diwakili secara eksklusif oleh Arteffects.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling