Melayani Selamat Datang Cinta Daripada Lah Ahmad


Album: Selamat Datang Cinta
Artis: Lah Ahmad
Label:© 2020 Teddy Rox Film Sdn Bhd

Nama Lah Ahmad cukup sinonim dengan aliran muzik R&B Soul dalam industri muzik Malaysia. Kelibat Lah Ahmad dalam genre muzik ini bermula sejak bersama kumpulan VE sebelum mengundurkan diri untuk bergerak secara solo.

Meneruskan perjalanan muzik R&B Soul secara solo, Lah Ahmad tampil dengan album ketiganya, Selamat Datang Cinta.

Kesinambungan Lah Ahmad secara solo kali ini ada sedikit kelainan. Siri albumnya sebelum ini iaitu Jalan Untuk Kembali (2014) dan Sempurna & Terbaik (2016) mengetengahkan konsep ketuhanan namun Selamat Datang Cinta lebih berkonsepkan universal.

Tujuh buah lagu diketengahkan oleh Lah Ahmad kali ini, dimulakan dengan Selamat Datang Cinta (feat The Gentleman). Pemilihan trek pertama sangat rancak, sesuai untuk pembukaan mana-mana album.

Debut Selamat Datang Cinta diteruskan dengan trek-trek berikutnya iaitu Selalu Denganku yang menjadi lagu tema majlis perkahwinan Mira Filzah dan Wan Emir. 

Seterusnya, Lah Ahmad turut menampilkan nafas baharu untuk lagu Kenapa, duet bersama Shazee. Lagu ini merupakan antara yang terawal pernah dirakamkan Lah Ahmad secara solo ketika masih menganggotai VE dahulu.

Selamat Datang Cinta turut menampilkan kehadiran Aina Abdul berduet bersama Lah Ahmad menerusi lagu Tunggu Kamu. Manakala, lagu 'Di Pintu Syurga'  nyanyian asal Dayang Nurfaizah dirakamkan semula oleh Lah Ahmad bersama The Gentlemen.

Trek-trek lain adalah Kernamu dan SejarahSejarah merupakan hasil karya Haqiem Rusli bagi melengkapkan album yang diterbitkan bersama Edifier, Teddy Rox dan Bookawear.

Rakaman album ini telah dijalankan pada awal bulan Mac 2020, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ekoran pandemik wabak COVID-19.

Melayani Selamat Datang Cinta, album debut kali ini boleh dikatakan masterpiece atau karya terbaik yang pernah dihasilkan oleh Lah Ahmad. 

Kualiti muzik dan keharmonian vokal nyata dijaga dengan baik. Malah susunan trek-trek dalam album ini dibuat secara teliti.

Tindakan Lah Ahmad berkolaborasi dengan artis muda seperti Aina Abdul dan Haqiem Rusli adalah satu tindakan yang bijak untuk menarik minat peminat muda 'layan' karya seni ini.

Dan yang lebih menarik, penerbitan album secara fizikal adalah satu langkah yang bijak. Tidak dinafikan pasaran muzik kini lebih terarah pasaran digital namun masih ada kelompok yang merasa puas jika dapat melayani muzik menerusi album fizikal.

Senang cerita, Lah Ahmad cuba menunaikan permintaan para peminatnya yang pro-digital dan pro-fizikal album.

Walaupun Selamat Datang Cinta bukan bertemakan ketuhanan secara khusus, namun itu bukan bermaksud album ini melalaikan. Terpulang kepada pendengar untuk menafsirkan setiap bait-bait karya seni dalam album kali ini.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling