Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, membuat kemunculan terbaru menerusi album studio keenamnya, Marhaba.
Album berkonsepkan Salawat Islam moden ini merupakan kesinambungan siri album Zikir Terapi yang pernah diterbitkannya sebelum ini.
Album Marhaba memuatkan 13 trek, antaranya adalah "Ya Imam Ar-Rusli,” “Ahmad Ya Habibi”, “Khairal Bariyyah”, dan banyak lagi.
Serentak dengan kemunculan album ini, Hafiz Hamidun turut mengumumkan jualan album fizikal melalui laman jual beli Shopee. Album fizikal ini dijual menerusi set kotak eksklusif.
Sebanyak 12 video muzik akan menyusul dan dikeluarkan satu setiap bulan mulai Januari 2021.
Menariknya, sebahagian trek album kali ini menjalani proses rakaman di Istanbul, Turki, dan sebahagian lagi di studio milik Hafiz Hamidun di Petaling Jaya, Selangor yang turut melibatkan pemuzik dan jurutera yang sangat berbakat dari Turki, Mesir, Amerika Syarikat, Indonesia, dan Australia.
![]() |
Hafiz Hamidun di Turki. Sumber: Facebook |
Menurut Hafiz Hamidun, proses untuk menerbitkan Marhaba telah memakan masa lebih dari lima tahun.
"Sejak 2015, saya menghabiskan lebih dari lima tahun berulang-alik dari Malaysia ke Turki, Mesir, dan Indonesia untuk menyempurnakan produksi album ini. Perjalanan itu sungguh hebat, kerana saya mendapat peluang untuk bekerja dengan beberapa pemuzik dan jurutera terbaik di dunia. Saya bangga untuk mengakui projek ini sebagai projek muzik terbesar yang pernah saya ada, dan saya harap ia akan dikenali sebagai karya terbaik dari saya,"- Hafiz Hamidun
“Semasa menghasilkan album ini, saya selalu mengingatkan diri saya seperti ini adalah album terakhir dari saya. Dengan berbuat demikian, saya memberikan cabaran kepada diri saya untuk menjadikan album ini sebaik mungkin. Saya tahu album ini mungkin tidak sempurna, tetapi satu perkara yang pasti ia adalah hasil dari titik peluh, darah dan air mata saya dalam pembikinan album ini.”- Hafiz Hamidun
![]() |
Kulit album Marhaba |
Hafiz Hamidun telah melalui evolusi tersendiri dalam bidang muzik. Bermula sebagai angota kumpulan UNIC suatu ketika dahulu, dia menjadi artis solo dengan rentetan pelancaran ikonik, produser dan komposer pemenang anugerah, serta pengusaha muzik dengan jejak antarabangsa.
Sumbangan inovatifnya terhadap muzik nasyid telah menyebabkan dia dinobatkan sebagai salah seorang daripada 500 orang Muslim paling berpengaruh di dunia.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.