Gandingan Mantap Kmy Kmo & Luca Sickta Bersama Jamal Abdillah


Setiap material yang dihasilkan pasti ada mesej positif yang tersirat. Itulah gambaran tepat buat duo rappers terkenal Malaysia, Kmy Kmo dan Luca Sickta

Malah hasil kerja dan kualiti yang ditonjolkan dalam setiap karya membuatkan jenama mereka kian kukuh. Jadi tidak hairan jika dikatakan, ramai penyanyi berlumba-lumba dan mulai mengintai untuk mendapatkan khidmat mereka sebagai komposer atau berkolaborasi bersama. 

Meneruskan perjalanan seni, duo rappers ini kini tampil dengan lagu terbaru, NERACA yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2021.

Menariknya, Kmy Kmo dan Luca Sickta sekali lagi menampilkan penyanyi legenda  Dato’ Jamal Abdillah sebagai rakan duet. Bagi Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin berkata, dari awal lagi mereka sudah membayangkan Dato’ Jamal Abdillah bagi menyanyikan lagu itu. 

“Ketika Kmy buat rakaman demo lagu ini dia menyanyi ala suara Dato’ Jamal. Malah, dari awal lagi memang sudah pasang niat alangkah menarik jika Dato’ Jamal dapat menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah, rezeki kami dan Dato’ Jamal bersetuju. 

“Awalnya, muzik lain. Tapi, selepas Dato’ Jamal memberikan persetujuan kami terus tukar dan masukkan elemen ghazal. Kami berasakan muzik tradisional ini tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu walaupun ia dipersembahkan dalam versi moden. Kalau peminat lama mendengar lagu ini pun, mereka tetap akan mengenali muzik ini. 

“Sepanjang proses rakaman, Dato’ Jamal sangat mengalu-alukan kami. Kami menjangkakan dia seorang legenda yang ‘diva’, tapi dengan kami dia okay. Tidak ada langsung rasa kekok, sebaliknya dia sangat mudah bekerjasama, profesional dan merendah diri. Sikap yang ditunjukkan itu tidak membuatkan kami rasa takut dan segan,” katanya. 

Mengenai pemilihan penyanyi Dato'Jamal Abdillah sebagai rakan duet, Luca berkata, itu adalah ‘wish list’ dan cita-cita mereka sejak di awal pembabitan dalam bidang penulisan dan penciptaan lagu lagi. 

“Kami sudah menunggu lama peluang sebegini. Kami dari zaman sekolah lagi sudah menghasilkan muzik. Sejak itu kami bercita-cita nak bekerjasama dengan penyanyi legenda. Diakui kami memang ada senarai nama penyanyi-penyanyi itu. 

“Bukan nak bekerjasama dengan penyanyi legenda yang bergelar Dato’ saja, tapi ia lebih kepada ingin merealisasikan impian. Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda. Setakat ini kami sudah selesai dengan genre yang diwakili setiap legenda itu. Tinggal lagi genre rock pula. 

“Insya Allah, selepas itu baru kami ke senarai penyanyi ‘A list’ pula. Kami sudah ada lagu dan senarai nama penyanyi. Dalam masa sama, kami juga akan buat projek bersama penyanyi baharu yang mempunyai bakat dan vokal bagus,” katanya. 


Mengekalkan tradisi genre hip hop dengan gabungan muzik ghazal dan reggae, lagu NERACA sudah dihasilkan sejak 2018 lagi. 

Menurut Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, lagu NERACA diperam selama dua tahun dan menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan. 

“Melodi lagu NERACA ini sudah siap sejak 2018 lagi. Selepas itu kami simpan sebab tunggu masa sesuai untuk disiap dan dilancarkan. Alhamdulillah, pertengahan tahun lalu, kebetulan Datuk Jamal ada kerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia. 

“Dari situ kami ambil peluang menawarkan lagu NERACA ini kepada Dato’ Jamal. Selepas bentang dan perdengarkan melodi lagu ini, dia terus kata okay dan bersetuju. Jadi, proses rakaman dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ambil masa tidak sampai sejam,” katanya. 

NERACA boleh dikatakan kesinambungan daripada lagu Zuhud yang dilancarkan pada Disember 2019. 

 “Bagi kami, lagu NERACA ini adalah kesinambungan mesej lagu Zuhud. Jadi dalam lagu ini ia merangkumi keseluruhan dan seimbangkan mengenai kehidupan yang berlaku sekarang. Apatah lagi dalam zaman media sosial, gejala sosial semakin menjadi-jadi. 

“Faktor terbuka dijadikan alasan untuk buat masalah. Disebabkan itu, dalam lirik lagu ini kami menyenyuh soal Ketuhanan. Malah, dalam video muzik pula mengenai manusia yang terikat dan suka leka dengan apa yang ada di atas muka bumi. 

“Cuma apa boleh dikatakan, muzik lagu ini berat dari Zuhud. Apa pun ikut selera pendengar juga. Mungkin ada yang suka dan sebaliknya,” katanya. 

Sementara itu, Dato’ Jamal Abdillah turut menceritakan pengalaman merakamkan lagu bersama duo rappers tersebut.
 
“Proses rakaman sangat santai, mudah dan tidak terlalu sukar. Kerja dengan anak muda memang seronok dan mereka berdua sangat berbakat. 

“Begitu juga ketika proses penggambaran video muzik, ia penuh erti yang tersurat yang perlu dihayati. Mesej yang ingin disampaikan agak kuat. Ia berkisar mengenai perjalanan manusia dalam menempuh peredaran masa sebagai manusia biasa. Banyak mesej bagus dan ditampilkan dengan keunikan yang lain daripada lain. Ia sekaligus membuatkan lagu ini sesuatu yang sangat bererti buat saya sebagai penyanyi era lama dalam penghasilan video muzik. 

“Jadi, harapan saya untuk lagu ini sangat tinggi dan semoga ia diterima oleh pendengar muzik terkini, terdahulu dan ketika zaman saya. Ini kerana lagu ini menggabungkan kedua generasi. Melodi dan muzik lagu ini agak unik termasuklah rap yang disampaikan sangat bermakna dan kena hayati,” katanya.

Walaupun baru dilancarkan pada 19 Februari 2021, namun lagu NERACA berjaya mencecah jumlah tontonan melebihi 100.000 tontonan dalam tempoh tiga hari. Kejayaan ini membuktikan material seni mereka terus diterima baik oleh pendengar.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling