Zafeen Solawat: Naskah Pengenalan Daripada Suhaimi Saad Dan 'Bismillah'


Judul Lagu: Zafeen Solawat
Artis: Bismillah
Lagu dan Lirik: Suhaimi Saad

© 2021 Karya Mosus

Pada Januari 2021 yang lalu, penyanyi nasyid Suhaimi Saad telah mengumumkan penubuhan sebuah kumpulan nasyid yang diberi nama Bismillah.

Kumpulan Bismillah dianggotai Suhaimi sendiri, disamping isterinya Ina Naim dan empat orang anaknya iaitu Hadie, Sallman, Phyrosh dan Layla. Menurutnya lagi, 'Bismillah' bakal tampil dengan album sulung menjelang bulan Ramadhan tahun ini.

Sebelum album tersebut diterbitkan, Bismillah secara rasmi telah memperkenalkan single pertama mereka berjudul Zafeen Solawat. 

Menurut Suhaimi Saad selaku pencipta dan penulis lirik Zafeen Solawat, dia cuba menggalas beberapa hasrat agar lagu-lagu berentak irama Melayu akan dapat diangkat semula di samping berharap agar karya mereka akan diterima baik oleh seluruh pendengar tempatan mahupun antarabangsa. 

Naskah pengenalan Bismillah ini nyata tidak mengecewakan. Kali pertama mendengar lagu ini, 'mood' hari raya menjengah. Irama muzik lagu ini persis kepada muzik lagu-lagu Hari Raya.

Kelahiran Zafeen Solawat ini turut meleraikan kemarau penantian terhadap lagu nasyid berentak irama Melayu.


Lenggok vokal setiap anggota Bismillah mempunyai kelebihan tersendiri. Selain Suhaimi yang sememangnya mempunyai vokal yang cukup sesuai untuk lagu-lagu tradisional, vokal para anggota Bismillah yang lain turut tidak mengecewakan. 

Susunan vokal harmoni yang ditampilkan Bismillah membuktikan projek ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Lirik Zafeen Solawat juga turut ditulis dengan gaya penulisan santai dan berlandaskan hadis. 

Sabda Rasulullah SAW: 

"Orang yang paling bakhil ialah sesiapa yang disebut namaku di sisinya tetapi tidak berselawat ke atasku." (Riwayat Ahmad)

Mengimbas kembali penglibatan seni setiap anggota Bismillah, Suhaimi Saad sebelum bergerak secara solo merupakan anggota kumpulan Inteam.

Ina Naim pula pernah menerbitkan album solo berjudul Duhai Hati (2006) terbitan Hijjaz Records. Tiga orang anak mereka iaitu  Hadie, Sallman, dan Phyrosh pernah tampil sebagai kumpulan Pelapis, telah tampil dengan sebuah album pada tahun 2019 terbitan Karya Mosus.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling