Judul: Aya Sofea
Lagu: Dewa Yubi / Asyraf Munap / Wan Saleh / Fitri Haris
Lirik : Ito Lara
Label: © 2021 Inteam Records Sdn Bhd & Niyat Edutainment
Nama Fitri Haris rasanya tak perlu diperkenalkan lagi dalam industri nasyid Malaysia. Bermula sebagai anggota kumpulan UNIC seterusnya menjadi artis solo, Fitri Haris sememangnya terkenal dengan lantunan vokal yang tinggi.
Selepas membuka lembaran tahun 2021 menerusi kerjasama bersama syarikat rakaman Tarbiah Sentap Records menerusi lagu Dalil Cinta bersama kumpulan Rabithah, kesinambungan nyanyian Fitri Haris diteruskan menerusi lagu Aya Sofea.
Kali ini kerjasama terjalin antara Niyat Edutainment miliknya bersama Inteam Records, Aya Sofea merupakan lagu ciptaan komposer Dewa Yubi, Asyraf Munap, Wan Saleh dan Fitri Haris, manakala liriknya ditulis oleh Ito Lara, pemenang kategori Lirik Nasyid Terbaik Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM) yang lalu.
Jika Dalil Cinta mengetengahkan isu masalah kesihatan mental, Aya Sofea pula merupakan sebuah karya sejarah berkaitan sebuah masjid di Turki.
Sekali dengar, lagu ini seolah memberi gambaran ditujukan kepada seseorang wanita bagi mereka yang kurang jelas sejarah Aya Sofea. Justeru, untuk lebih faham, pendengar perlu mendengarnya berulang kali.
Lirik Aya Sofea telah diolah oleh Ito Lara dengan begitu gramatis dan sarat dengan penceritaan sejarah. Gaya penulisan Ito Lara sememangnya cukup sinonim dengan lagu-lagu nasyid yang popular sebelum ini.
Menurut Fitri Haris semasa melancarkan lagu tersebut secara maya di Facebook dan Instagramnya, pada mulanya dia meminta sebuah lirik berkaitan srikandi ataupun sirah untuk dinyanyikan memandangkan belum pernah mempunyai lagu seperti itu secara solo.
"Saya menangis ketika itu sebab saya tak terfikir abang Ito akan menulis lirik tentang Aya Sofea. Walaupun kita minta itu lain, tapi ada isu lain yang lebih besar yakni kita nak bagitahu semua orang tentang penceritaan Aya Sofea," ujar Fitri Haris.
Lantunan vokal Fitri Haris dalam Aya Sofea juga tidak mengecewakan. Nyanyian yang beremosi, serta melodi yang tenang menambahkan lagi seri Aya Sofea untuk menjadi antara karya epik yang sekian lama kurang diberi penekanan dalam industri muzik Malaysia kini.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.