Kejayaan dan kekuatan sesebuah masyarakat di dunia amat bergantung kepada keupayaan mereka mendengar dan melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan sumber yang berwibawa.
Komunikasi tidak hanya tertumpu kepada mulut yang berbicara tetapi juga kepada sepasang telinga yang sentiasa tersedia untuk mendengar dan memahami dengan rasional.
Atas kesedaran ini maka TV AlHijrah buat julung kalinya tampil menerbitkan sebuah rancangan baharu,DENGAR. Kali ini, stesen televisyen ini lari dari kebiasaan stesen ini yang cukup terkenal dengan DNA menyampaikan ilmu yang memerlukan keupayaan berbicara berbanding mendengar.
DENGAR adalah sebuah program semi-realiti yang mendengar permasalahan individu-individu yang tular di media sosial lantas memberikan bantuan serta mencari solusi terbaik.
Rancangan ini yang menggunakan slogan Mendengar Masyarakat, akan bersiaran sebanyak 13 buah episod bermula 4 Mac 2021 pada setiap hari Khamis pukul 9.00 malam.
“Masyarakat pada hari ini menjadi sangat selektif dalam meminjamkan pendengaran. Kemahiran mendengar selalu diabaikan di dalam komunikasi yang berkesan. Obsesi kita terhadap isu-isu yang kita pilih untuk lihat, beri perhatian dan solusi menyebabkan gambaran permasalahan secara besar tersasar malah gagal difahami secara menyeluruh.
“Allah menciptakan manusia sempurna dengan dua pasang kaki, tangan, mata dan telinga. Namun Allah ciptakan kita semua dengan satu mulut sahaja. Maka kurangkan bercakap namun lebihkan mendengar dan mengambil tindakan.
“Ini yang kita cuba terapkan di dalam rancangan DENGAR. Kita percaya bahawa mendengar itu sendiri adalah syifa’, penyembuh dan rawatan buat yang memerlukan. Apatah lagi selepas itu kita susulkan pula dengan tindakan lanjutan yang membawa kepada penyelesaian permasalahan tersebut,” jelas Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah.
DENGAR merupakan cetusan idea daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menuntut penglibatan dan kerjasama semua pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat.
![]() |
Haze turun padang |
"Bermula dengan aduan yang kami terima daripada netizen, krew DENGAR akan turun padang meninjau dan menjalin hubungan awal dengan responden yang sedang berada dalam musibah.Mereka kemudiannya perlu membuat kajian lanjut serta berhubung dengan agensi-agensi dan pihak-pihak yang terlibat dalam mencari solusi terbaik. Kemudiannya, kita akan jemput responden ke studio digital TV AlHijrah untuk sesi perkongsian.
“Kita selit pula elemen kejutan buat responden. Di studio, responden akan menerima bantuan yang diperlukan samada dari pihak penaja atau agensi-agensi yang berkenaan. Bantuan pula tidak tertumpu kepada material semata, ia termasuk sokongan emosi dan psikologi”, jelas Namanzee lanjut.
DENGAR mempertaruhkan dua nama besar negara dalam bidang pengacaraan iaitu Wan Kamarudin Wan Ibrahim selaku hos di studio dan Hazeman Huzir sebagai wartawan lokasi.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.