Permulaan Mawaddah adalah menerusi Persatuan Pelajar-Pelajar Timur Tengah yang diasaskan pada tahun 1999 di Amman, Jordan.
Pada awalnya persatuan ini ditubuhkan dan dianggotai oleh pelajar-pelajar Asia Tenggara yang pernah dan sedang belajar di universiti-universiti di Timur Tengah seperti University of Jordan, Universiti Muktah, Universiti Yarmouk, Universiti Al Ali Bayt di Jordan, Universiti Al Azhar di Mesir, University of Baghdad di Iraq dan lain-lain.
Pada tahun 2002, bakat-bakat yang ada dalam kalangan kumpulan kebudayaan persatuan ini disatukan dan akhirnya membentuk Mawaddah. Pada bulan Julai 2002, Mawaddah dilancarkan sebagai salah satu sayap dari Persatuan Pelajar Timur Tengah di Brunei Darussalam. Permulaan kumpulan ini adalah dengan kekuatan empat anggota iaitu Nadia, Suwaibatul Islamiah, Fatim, dan Ema.
Membawa tagline Cintai Tuhan Sayangi Manusia, mereka tampil dengan album sulung berjudul Sayangi Tuhan. Album ini merupakan terbitan Persatuan Pelajar Timur Tengah, dengan kerjasama Syarikat Layyinah Generasi Berwawasan di Brunei. Walaupun diterbitkan secara 'indie', namun album ini berjaya dijual melebihi 30,000 unit.
Konsep muzik Mawaddah yang santai, liriknya yang 'direct to the point' tanpa puitis yang meleret menjadi tarikan utama penerimaan peminat nasyid.
Kejayaan album Sayangi Tuhan menjadi pemangkin buat Mawaddah untuk terus menerbitkan album-album tanpa putus.
Pada tahun 2005, Mawaddah mencatatkan penerbitan album sebanyak 16 buah album dalam tempoh 3 tahun sejak ditubuhkan. Satu angka yang besar bagi sesebuah artis nasyid.
"Paling sikit album kami dijual 10,000 unit. Tetapi album pertama kami berjudul Sayangi Tuhan paling mendapat sambutan. Album yang diterbitkan pada tahun 2002 itu dijual lebih 30,000 unit. Keseluruhan 16 album kami, dijual tidak kurang daripada 160,000 unit, `' kata Suhaibatul Islamiah, salah seorang ahli Mawaddah. [petikan dari Utusan 22 April 2005].
Antara senarai album Mawaddah ialah Sayangi Tuhan, Kenalilah Tuhan, Love God, Takutilah Tuhan, Perjuangkan Tuhan, Cintai Allah Cinta Rasul Cinta Sesama, Zikir Kifarah, Hikmah Haji, Hidup Bertuhan, Allahu Habibul 'Azam Kafihufillah, Perjuangkan Tuhan, Raya Hanya di Sana, Islam Hadhari, Tsunami Pembawa Mesej dari Tuhan, Kembali Kepada Tuhan, Peribadi Contoh, Sembahyang Membina Peribadi Agung, Pemimpin Ajaib, Falsafah Hari Raya dan Rintihan Cinta.
Lebih menarik, semua album Mawaddah dijual dengan harga serendah RM15 ketika itu, mirip dengan strategi syarikat OVA Production ketika era kaset nasyid RM6.
Proses penerbitan album-album mereka diusahakan sendiri melalui label Mawaddah Production. Malah, label ini turut memiliki studio rakaman,unit pemasaran dan tenaga-tenaga belakang tabir yang profesional bukan sahaja di Malaysia malah di beberapa buah negara seperti Jordan, Australia, Indonesia, Thailand dan Perancis.
Bermula dengan empat ahli, kumpulan ini terus berkembang dengan merekrut beberapa orang ahli lagi atas keperluan persembahan kebudayaan. Lagi menarik, Mawaddah turut dipecahkan kepada beberapa 'sayap' utama iaitu Mawaddah Puteri, Mawaddah Putera 1, Mawaddah Putera 2, Mawaddah Kecil, dan Mawaddah Kelantan.
Walau bagaimanapun, Mawaddah Putera 1 & 2 dan Mawaddah Kelantan akhirnya dijenamakan sebagai Anak Soleh dan Remaja Harapan.
Selaras dengan berkembangnya kumpulan nasyid ini, semua 'sayap' Mawaddah disatukan di bawah satu akademi. Mawaddah Production menubuhkan Akademi Realiti Mawaddah pada 4 Ogos 2004, yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Puan Mursyidah Mustafa selaku Pengetua Akademi. Penjemaan semula akademi ini telah melahirkan Akademi Seni dan Budaya Mawaddah (ASBM).
![]() |
Markas Akademi Seni dan Budaya Mawaddah (ASBM). Sumber: Laman Rasmi Mawaddah (telah dipadamkan) |
ASBM memfokuskan aktiviti hiburan dan pendidikan seperti motivasi, kaunseling, teater, drama, pantomin, deklamasi sajak, bermain alat perkusi, production dan lain-lain aktiviti edutainment.
Di akademi ini, ahli-ahli Mawaddah dibahagikan kepada empat fakulti iaitu fakulti vokal, fakulti alat perkusi, fakulti production dan fakulti seni persembahan. Fakulti-fakulti ini dibahagikan mengikut kemahiran yang ada pada ahli Mawaddah itu.
ASBM turut membuka peluang kepada para remaja untuk menyertai akademi itu dalam melahirkan remaja yang kreatif dan inovatif dalam bidang seni dan budaya, melatih remaja bijak berkomunikasi dan berinteraktif di tengah masyarakat, serta mendidik remaja menjadi usahawan muda yang serius berusaha mengeluarkan dan memasarkan sendiri produk-produk pendidikan dan hiburan.
Dalam erti kata lain, pelajar ASBM secara tak langsung akan menjadi anggota Mawaddah. Tahap disiplin yang tinggi diterapkan dalam kalangan ahli atau pelajar akademi. Mana-mana ahli yang mula leka dengan populariti, akan direhatkan dari sebarang aktiviti seni dan diberi masa untuk bermuhasabah.
(artikel ini ditulis berdasarkan laman rasmi Mawaddah yang pernah wujud sekitar tahun 2002-2007)
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.