Mawaddah: Cintai Tuhan Sayangi Manusia (Siri 2)


Kumpulan Mawaddah bukan sekadar bergerak di Malaysia. Mereka turut aktif mengadakan persembahan di luar negara seperti Jordan, Brunei, Indonesia, Perancis, Thailand dan Australia.

Antara rekod kejayaan Mawaddah ialah:
  • Artis Malaysia dan Asia pertama dijemput mengadakan persembahan di Le Bouget Paris sempena expo musim panas yang dihadiri umat Islam seluruh Eropah pada tahun 2004.
  • Artis Malaysia pertama yang mendapat penghormatan mengadakan persembahan di hadapan Perdana Menteri Australia John Howard dan barisan Menteri Kabinetnya di Sydney Australia pada 2003 di majlis makan malam tahunan Kongres Muslim Australia. 
  • Artis Malaysia pertama dijemput mengadakan persembahan di Jarash Jordan pada tahun 2004 yang mana merupakan acara tahunan pihak Jordan mengumpulkan seluruh artis-artis Arab.
  • Menganjurkan Konsert dan Karnival Maulidurrasul di Dataran Putrajaya selama 3 hari 3 malam pada 2004. Program keseluruhannya dibiayai dan diuruskan oleh Mawaddah Production dengan kehadiran lebih 50 ribu pengunjung.
  • Mengadakan Konsert Mega di Dataran Merdeka pada 1 Mei 2003 dengan menampilkan gabungan kumpulan Mawaddah dari 9 buah Negara. Konsert yang dihadiri lebih 50 ribu orang ini dibiayai oleh Mawaddah Production.
  • Mengadakan show dan promotour di Eropah dan Timur Tengah meliputi Perancis, Jerman, Holland, London, Turki, Jordan dan Syria pada tahun 2004. Anggota rombongan seramai 20 ribu orang dan perjalanan selama 3 bulan itu juga dibiayai sepenuhnya oleh Mawaddah Production. 
  • Selama 3 tahun penubuhannya telah berjaya menerbitkan 18 buah album yang mana bermula dari menulis lirik, menyusun lagu, pengendalian studio rakaman, penggambaran dan pembikinan video klip,reka bentuk cover album, mengurus percetakan di kilang, membuat promosi, jualan dan pemasaran produk dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar Akademi Mawaddah. -> Tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman tempatan atau antarabangsa tetapi telah mengadakan persembahan hingga ke peringkat antarabangsa.
  • Mawaddah berjaya merakamkan lagu-lagu dalam 5 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Thailand, Inggeris, Arab dan Perancis. 
  • Kumpulan nasyid pertama dijemput mengadakan persembahan sempena Majlis Penutup Le Tour De Langkawi yang ke 10 di Dataran Merdeka pada Februari 2005.
"Paling membanggakan apabila Mawaddah diundang mengadakan persembahan di Perancis pada 9 hingga 12 April 2004. Persembahan itu diadakan sempena ekspo tahunan musim panas untuk masyarakat Islam seluruh Eropah,'' kata Suhaibatul, salah seorang ahli Mawaddah. [Utusan 2005].

Mawaddah bersama Perdana Menteri Australia, John Howard suatu ketika dahulu

Kumpulan Mawaddah digerakkan oleh 90% ahli puteri dan selebihnya adalah lelaki. Konsep muzik yang dibawakan oleh Mawaddah juga amat unik kerana mereka memperluaskan skop irama nasyid dengan menyelitkan pelbagai elemen seperti pop, R&B dan kontemporari. 


Kumpulan ini juga menggunakan lima pemuzik latar yang memainkan pelbagai alat gendang seperti konga, rabbuka, djembe dan dram. Semua pemuziknya adalah wanita.

MAWADDAH NAMA YANG SUKAR DICARI GANTI 

Ketika Mawaddah mula mencipta kejayaan demi kejayaan, beberapa isu mula timbul. Kontroversi yang melanda Rufaqa' Corporation yang dikatakan cuba menghidupkan semula gerakan al-Arqam sekitar tahun 2006 memberi kesan kepada Mawaddah memandangkan Akademi Seni dan Budaya Mawaddah serta Mawaddah Production dikaitkan dengan Rufaqa'. 


Pada tahun 2007, salah seorang vokalis utama Mawaddah, Khaulah, tampil dengan album solo berjudul
Di Bawah Langit-Mu. Namun itu belum menjadi titik noktah buat Mawaddah.

Album Rintihan Cinta

Pada tahun 2009, Mawaddah tampil dengan album Rintihan Cinta, dipercayai album terakhir kumpulan ini.  

Selepas itu, Mawaddah telah dijenamakan semula kepada beberapa bahagian. Sebahagian sayap putera menubuhkan kumpulan Remaja Harapan dan telah menerbitkan beberapa buah album. Malah Remaja Harapan pernah membuat persembahan di British Muslim Heritage Center. 


Manakala sebahagian besar anggota Mawaddah yang terdiri daripada anak-anak Allahyarham Abuya Ustaz Ashaari Muhammad, menubuhkan Generasi Harapan. Konsep muzik GH lebih moden dan berbeza dengan konsep muzik Mawaddah.

Menerusi nama Generasi Harapan, kumpulan itu pernah mendapat Pencalonan Awal dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun 2010. GH terus aktif sebagai sayap kebudayaan syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH).

Kehadiran Mawaddah sekitar tahun 2002-2007 diakui antara warna-warni yang indah dalam industri nasyid walaupun mereka sekadar bergerak secara 'underground'. 

(artikel ini ditulis berdasarkan laman rasmi Mawaddah yang wujud sekitar tahun 2002-2007)

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling