"Amalan Ramadan Ibarat Manual Untuk Berpuasa" - Vokal Harmoni Marhaen Menyerlah!


JUDUL: AMALAN RAMADAN | ARTIS : MARHAEN
LAGU : MUNIF HIJJAZ | LIRIK : ITO LARA
LABEL : © 2021 | SOOFI STUDIO

Populariti kumpulan nasyid NadaMurni ketika era 1980-1990an banyak memberi kesan kepada industri nasyid Malaysia. Lirik yang 'direct to the point' menjadikan lagu-lagu nyanyian kumpulan nasyid itu terus menjadi malar hijau sehingga ke hari ini.

Antaranya ialah lagu Amalan Ramadan. Karya ini mendapat susunan melodi dan padanan lirik daripada dua tokoh yang tidak asing dalam industri nasyid iaitu saudara Munif Hijjaz dan saudara Mohd Radzi Sulaiman (ITO Lara) selaku penulis lirik. 

Atas faktor keindahan lirik dan alunan lagu ini, maka Soofi Media dan Soofi Studio, sebuah lagi hub Islamik kreatif bertindak mengambil ruang dan peluang untuk merakam semula lagu berkenaan dengan nafas baharu bersempena kedatangan bulan Ramadan tahun ini.

Nafas baharu Amalan Ramadan telah diberikan oleh kumpulan Marhaen. Marhaen ialah kumpulan gabungan anak muda yang sangat berbakat dan menjadikan bidang nyanyian sebagai platform untuk berkarya. 
 
Menurut ketua kumpulan Marhaen, Hisyam Elharith, pemilihan lagu Amalan Ramadan dibuat berdasarkan mesej liriknya yang diibaratkan sebagai manual buat pendengara untuk menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

“Pada mulanya kami agak risau tentang penerimaan orang disebabkan lagu ini (merupakan) lagu lama dan ada peminatnya yang tersendiri namun setelah meneliti mesejnya yang sangat baik untuk diangkat sempena Ramadan sekali gus menjadi nasihat kepada kita berkaitan amalan yang perlu dijaga sepanjang berpuasa.” 

“Diharapkan kesemua yang mendengar dapat mengambil iktibar daripada mesej yang ada dan semoga semua amalan Ramadan kita diterima,” ujar Hisyam Elharith yang turut bertindak sebagai penerbit lagu bersama Huzaimi Zaini. 



Amalan Ramadan versi nafas baharu ini dibawa secara acapella. Walaupun lagu ini pernah diberi nafas baharu oleh pelbagai artis nasyid lain misalnya Hiijjaz, namun Marhaen berjaya membawanya mengikut acuan mereka tersendiri. Keharmonian vokal Marhaen sangat menyerlah, tanpa wujud sebarang 'over shadow' antara setiap anggota.

Mengenai kumpulan Marhaen, kumpulan vokal harmoni ini dibarisi lima anggota iaitu Hisyam Elharith, Saiful Anas, Afeeq Ameen, Mohamad Hannan dan Nor Mohd Shapuan. Marhaen ditubuhkan sekitar tahun 2017 dan merupakan bekas mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Semasa di kampus, kumpulan ini bergerak atas nama Interaksee. Pelbagai pencapaian dan kejayaan di peringkat universiti mahupun ASEAN direkodkan ketika mereka aktif bergerak dengan nama Interaksee. Antaranya adalah johan dalam penganjuran Ihtifal ASEAN 2017. 


Mula sepakat memperkenalkan nama baharu iaitu Marhaen, kumpulan ini mengekalkan kewibawaan mereka apabila berjaya memenangi pertandingan UNIC Got Starz Asean pada penghujung 2017.

Selain itu, mereka juga terlibat sebagai penyanyi latar kepada Fadzli Fareast semasa Anugerah Nasyid IKIM 17 (AN17) menerusi lagu Syahadah. Lagu tersebut berjaya bergelar juara dan merangkul Anugerah Vokal Terbaik. 

Mahu dikenali sebagai sebuah “vocal group” bermesejkan positif, Marhaen lebih selesa menggunakan pendekatan yang lebih santai bahkan bersifat universal agar diterima ramai. 


Amalan Ramadan merupakan sebuah terbitan sulung Soofi Studio. Video rasmi Amalan Ramadan ini boleh ditonton di saluran YouTube Soofi Studio. Selain itu, lagu ini telah berada di semua plaftorm digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, KKBox, Joox dan Deezer.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling