‘Alhamdulillah’ Kembalikan Tamparan Wanita Elite


Pada awal April 2021, kumpulan vokal pop wanita era 1990-an, Elite, mengumumkan kemunculan semula lima anggota asal menerusi sebuah lagu ketuhanan berjudul Alhamdulillah.

Kelibat semula Elite ini terhasil setelah lebih 20 tahun anggota asal Elite ‘berpisah’. Lebih menarik, reunion ini menampilkan sisi tema lagu yang berbeza buat kumpulan yang terkenal dengan lagu Tamparan Wanita.

Alhamdulillah merupakan ciptaan komposer Noura dan Rayyan Rayhan, manakala liriknya ditulis oleh Noura.

Lagu Alhamdulillah mengembalikan vibe asal Elite yang terdiri daripada Sasha, Azza, Abby Abadi, Watie dan Linda Rafar. 

Lagu yang terhasil ini masih mengekalkan wajah muzik asal Elite. Malah, setiap anggota masih memainkan peranan tersendiri dalam menjayakan naskah muzik mereka ini.

Vokal mereka masih sama seperti dahulu. Kelebihan membawa unsur rap dalam lagu masih diteruskan dalam lagu Alhamdulillah.

Walau bagaimanapun, jangan terlalu membandingkan Elite (1990-an) dengan Elite (2021). Bayangan imej lincah mereka ketika zaman muda-mudi perlulah dipadamkan dalam menghayati naskah muzik mereka kali ini, sesuai dengan imej dan usia mereka kini.



Feel lagu Alhamdulillah ini dikategorikan dalam kelompok ringan. Lirikal bahasa yang ‘berterus-terang’ tanpa puitis yang melampau, memudahkan pendengar memahami mesej yang ingin disampaikan.

‘Refresh’ daripada Elite kali ini mampu mengubat kerinduan peminat. Nyata usaha Norman Abdul Halim untuk menyatukan semula Elite kali ini berbaloi.

Alhamdulillah merupakan sebuah naskah muzik terbitan Imaan Studio, hub penerbitan Islami bagi KRU Music.


Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling