Setelah lebih 17 tahun aktif dalam dunia hiburan, pada tanggal 19 April 2021 Faizal Tahir membuat satu pengumuman mengejutkan ramai pihak.
![]() |
Kenyataan daripada Faizal Tahir |
Menurut kenyataan tersebut, Faizal Tahir mengumumkan untuk berehat bagi tempoh yang panjang.
“I’ll be back before you know it. Insha’Allah,”- Faizal Tahir.
Menurutnya lagi, apa yang mahu dilakukan bapa kepada enam anak ini adalah meluangkan masa bersama keluarga.
"Sejak projek Assalamualaikum pada 2015, saya tiada rehat langsung. Penerbitan album Anatomi, Rojak, Qibla dan semua projek yang lain memberi kepuasan, Alhamdulillah,”tambah Faizal lagi.
Walau bagaimanapun, penyanyi dan komposer ini menjelaskan bahawa dia akan aktif untuk berkarya dan menulis namun bukan untuk dirinya.
Selain itu, Faizal akan terus menggerakkan Faithful Publishing yang ditubuhkan awal tahun ini bagi mencari pelapis dan bakat baharu dalam bidang komposisi serta penerbitan muzik.
QIBLA: SENTUHAN RELIGI FAIZAL TAHIR
Sebelum membuat keputusan untuk berehat, Faizal Tahir turut menerbitkan sebuah album religi, Qibla.
Album Qibla menampilkan kemunculan istimewa Faizal bersama kumpulan nasyid yang pernah dianggotainya, Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.
Nafas baharu untuk lagu malar hijau Mirwana tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peminat. Susunan muzik yang lebih segar menjadikan ‘reunion’ tersebut mengubat kerinduan peminat.
Selain lagu tersebut, Qibla turut memuatkan dua buah lagu iaitu Syahadah dan rakaman semula lagu Ceria Aidilfitri (duet bersama Zizi Kirana dan kumpulan Darmas).
Lebih menarik, Faizal Tahir turut memuatkan 10 buah rakaman audio tadabbur dengan tema Borak Barang Baik. Koleksi tadabbur ini dipilih dan dibaca sendiri oleh penyanyi ini sebagai hadiah serta peringatan buat semua.
Koleksi tadabbur yang disusun dengan bahasa mudah, ibarat satu refleksi bagi mereka yang menghayati album Qibla.
Album Qibla diterbitkan oleh Faithmen Music dalam bentuk fizikal dan digital. Album fizikal dijual bersama box set Qibla di laman web Faizal Tahir.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.