Autotune Band & The Truth Persoalkan Bukti Cinta Sebenar


Nyanyian mereka pernah tular menerusi cover Panama versi dakwah di saluran YouTube Malaysia suatu ketika dahulu. Kali ini, Autotune Band tampil berani mempersoalkan bukti cinta sebenar umat Islam dalam sebuah karya terbaharu bertajuk Bukti. 

Bukti lebih bermesejkan kepada kecintaan manusia kepada llahi. 

Hadirnya Bukti ini sebagai satu sentapan jiwa buat pendengar mengenai sikap manusia dewasa ini yang mengaku dirinya bertuhan, namun menjadi persoalan apabila berlaku pertembungan antara kenginan duniawi dan cinta terhadapNya.

Menurut Hafiz Autotune Band, single Bukti menggunakan pendekatan yang lebih berterus-terang dalam menyampaikan persoalan pokok lagu terbaru mereka. 

Walau bagaimanapun elemen bahasa melayu yang puitis masih lagi diterapkan.

“Kami cuba untuk mengelakkan penggunaan lirik yang ada double meaning. Dalam persoalan tauhid, ia perlu disampaikan dengan bahasa yang jelas agar tiada salah faham yang timbul di kalangan pendengar. 

 “Insya Allah anak muda hari ini akan lebih mudah faham mesej di dalam lirik lagu yang tidak terlalu kompleks laras bahasanya,” ujar Hafiz.

Dalam masa yang sama menurut Naufal The Truth, Bukti bukan sebuah karya yang bersifat judgemental. 

Menurut beliau, persoalan “memilih antara wahyu dan nafsu” adalah isu dan situasi yang sering dihadapi setiap hari oleh semua orang tidak terkecuali para ilmuwan agama sekalipun. 

“Bukan niat kami untuk mempersoalkan kejujuran dan keikhlasan cinta seseorang terhadap Yang Maha Esa. Apa yang ingin kami lontarkan di dalam lirik Bukti adalah sebuah kenyataan yang diharapkan akan menjentik hati pendengar untuk menilai diri sendiri sejauh mana mereka jujur dalam mencintai Allah swt dan Rasul saw,” tambah Naufal.

‘Bukti’ mengetengahkan irama Hip Hop Trap di dalam nasyid, satu konsep muzik yang cukup sesuai untuk golongan belia yang penuh cabaran. 

Karya sentuhan sulung pelukis komik dakwah terkenal, Abeben (Lukisan Tarbiah) bersama ustaz Adnin Roslan dan juga Rahman Dashuki ini menyajikan sebuah produksi muzik yang mudah difahami para pendengar.

Terdahulu, Autotune Band pernah berkerjasama dengan pendakwah muda, Iddin Ramli menerusi lagu Jauh.

The Truth pula sebuah duo yang dianggotai Naufal Isa dan Irwan Fariz. 



Klip video rasmi BUKTI nyanyian gandingan Autotune Band dan duo The Truth telah sedia ditonton di saluran rasmi YouTube Tarbiah Sentap serta semua platform digital termasuk Joox, Apple Music dan Spotify. 

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling