Linangan Laduni Penuh Dramatik Daripada Darwish


Darwish, bakat nasyid yang sewajarnya diberi perhatian oleh penggemar muzik ini. Kekuatan vokal yang dimiliki kumpulan duo ini dilihat setanding dengan artis-artis nasyid yang lebih senior.

Bermula dengan rilisan Hati Merindu (2017) kemudian diikuti Safiyyah (2019), nama Darwish kian dikenali peminat industri nasyid. 

Malah, lagu Safiyyah hasil kolaborasi mereka bersama kumpulan Far East, dilihat sebagai satu catalyst (pemangkin) yang menaikkan nama Darwish. Hasil tinjauan di saluran Youtube mendapati lagu ini mencatat jumlah tontonan melebihi 2juta tontonan.

Meneruskan perjalanan seni, Darwish tampil dengan sebuah lagu terbaharu berjudul Linangan Laduni yang bertemakan kasih sayang. Lagu ini dicipta oleh Harry Khalifah (Apak) manakala liriknya ditulis oleh Yabang Khalifah.

Menurut salah seorang anggota Darwish, Faiz, Linangan Laduni membawa maksud yang mendalam.

"Laduni dalam bahasa Arab bermaksud disisiku. Maksudnya jika ditakrif dari segi bahasa bermaksud linangan air mata disisiku. Kalau mengikut konteks lagu ini, perempuan (isteri) yang mengalirkan air mata itu merupakan anugerah Allah untuk suami, diamanahkan kepada suami untuk dijaga dengan sebaiknya kerana lelaki diciptakan untuk menjadi pelindung kepada wanita, dan perlunya dibimbing bersama menuju ke Syurga," ujar Faiz di laman Facebooknya.

Langkah pelaburan yang besar untuk Linangan Laduni dilihat satu langkah yang berbaloi. Di sebalik kekuatan lirik yang penuh gramatis serta melodi yang 'masuk' dengan liriknya, Linangan Laduni turut menggunakan tenaga pelakon yang hebat untuk muzik videonya.


Lakonan Fauziah Nawi yang sinonim sebagai pelakon veteran air mata, serta gandingan suami isteri Ardell dan Nadzmi Adhwa menghidupkan lagi mesej yang disampaikan oleh lagu ini.

Vokal Darwish yang terdiri daripada Faiz dan Amin semakin matang. Gabungan semua faktor ini menjadikan Linangan Laduni sebagai sebuah karya yang telah diterima ramai. Buktinya, jumlah tontonan video muzik ini melebihi 100 ribu tontonan.

Rakaman Linangan Laduni telah dilakukan di Novarts Studio menggunakan tenaga Wan Saleh sebagai penyusun muzik. Lagu ini diterbitkan oleh MVM Production Sdn Bhd dan telah diterbitkan sejak 7 April 2021.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling