Lagu: Soal Munkar Nakir
Artis: Al-Tamim
Lirik dan Lagu: Kamal Halim
2021 | AL TAMIM ENTERTAINMENT & DATU ENTERTAINMENT
Ibarat tahu usianya di penghujung hayat, Allahyarham Kamal Halim sempat menghasilkan karya seni terakhirnya berkisarkan soal kematian.
Allahyarham juga turut aktif sebagai komposer nasyid. Antara lagu nasyid terkenal ciptaannya ialah Fatamorgana (Hijjaz), Nur Tuhan (Hijjaz), Berkorban Demi Cinta (Hijjaz), Irama Kasih (Hijjaz), Alam Rohani (Hijjaz), Jalan Bahagia (Hijjaz), Yang Maha Penyayang (Hijjaz), Penawar Racun Dunia (Hijjaz), Dunia Oh Dunia (Lambaian Kasih), Melodi Perpisahan (Lambaian Kasih), Janji Tuhan Pasti Berlaku (Soutul Amal), Tafakur (Zikraa), Jalan Yang Satu (Diwani), Pesanan (Diwani), Yang Abadi (Diwani) dan banyak lagi.
Sebelum Allahyarham kembali ke rahmatullah, Kamal Halim atau nama sebenarnya, Abdul Halim bin Awang Ibrahim, telah menghasilkan lagu berjudul Soal Munkar Nakir.
Lebih menarik, lagu ini didendangkan oleh Allahyarham sendiri bersama kumpulan nasyidnya, Al-Tamim.
Menghayati bait lirik lagu Soal Munkar Nakir, seolah mesej yang disampaikan terpanah di hati. Karya terakhir Allahyarham ini cukup bersifat easy listening tapi liriknya tajam.
Siapa Tuhanmu, Allah TuhankuSiapa Nabimu, Muhammad NabikuApa agamamu, Islam agamakuApa ikutanmu, al-Quran ikutankuSiapa saudaramu, yang Islam saudarakuApakah kiblatmu, Kaabah kiblatku
Enam asas soalan yang perlu dijawab manusia apabila berada di alam kubur, menjadi mesej utama lagu ini. Diiringi susunan muzik yang ringan, nyanyian Allahyarham kali ini terserlah keikhlasan dalam menyampaikan mesej terakhirnya.
Melodi yang dibawa kumpulan Al-Tamim sememangnya bersifat nasyid kontemporari yang ringan. Ia ibarat identiti kumpulan nasyid ini, apatah lagi lagu-lagu seperti sememangnya cukup sinonim dengan imej muzik ciptaan Allahyarham Kamal Halim.
Menyingkap perjalanan seninya, Allahyarham Kamal Halim memulakan langkah seni sebagai vokalis bagi kumpulan terkenal sekitar tahun 1980, The Brain Connection.
Seterusnya, Allahyarham telah menghasilkan beberapa lagu hits terkenal antaranya Suratan nyanyian kumpulan Slam, Mahligaimu Dari Airmataku nyanyian kumpulan Lestari, Persada Cintaku nyanyian kumpulan Spring, Di Sudut kamar Hatiku Nyanyian Datuk Jamal Abdillah dan banyak lagi.
![]() |
Dua buah album nasyid solo Allahyarham. Kredit: Min Hashim |
Dalam industri nasyid, Allahyarham pernah menghasilkan dua buah album solo nasyid, Pesanan Buat Teman dan Yang Maha Penyayang.
Malah, Allahyarham pernah berkhidmat bersama Al-Mansur Productions suatu ketika dahulu dan pernah menerbitkan beberap album artis di bawah syarikat tersebut seperti Umpama Air Mengalir (Balqis), dan Nur Iman (Syukur).
Perjalanan seni nyanyian Allahyarham yang terakhir adalah bersama kumpulan nasyid Al-Tamim. Kumpulan ini pernah menghasilkan dua buah single sebelum ini iaitu Rejab dan Subhanallah.
Allahyarham Kamal Halim menghembuskan nafas terakhir pada 17 Jun 2021. Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi hati serta penyakit lain.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.