“Ini Bukan Album Tangkap Muat,”- Melayani Album Bismillah


BISMILLAH | BISMILLAH

©  2021 | KARYA MOSUS

Bukan hangat tahi ayam, satu gambaran yang jelas bagi album sulung kumpulan Bismillah.

Kumpulan ini diumumkan penubuhannya oleh penyanyi Suhaimi Saad pada Januari 2021. Lebih menarik, anggota kumpulan ini terdiri daripada isteri Suhaimi Saad, Ina Naim bersama empat orang lagi anak mereka.

Di sebalik kontroversi yang sering kali timbul yang membabitkan Suhaimi Saad, namun penghasilan album Bismillah bukanlah sekadar melepaskan batok di tangga.

Ketika pandemik COVID-19 yang menghadkan pergerakan masyarakat, penghasilan sebuah album dengan sepuluh buah lagu adalah satu tindakan berani.

Namun atas nama dakwah melalui seni, soal kualiti lagu tidak dipandang ringan oleh Suhaimi Saad selaku penerbit album ini.

Trek Bismillah menjadi pembuka album, sebuah lagu yang sekali imbas seperti lagu tema rancangan televisyen. Rentak muzik yang rancak sesuai diletakkan sebagai trek pembuka.

Trek kedua, Awwaluddin pula lebih mengetengahkan vokal anak-anak pasangan Suhaimi-Ina. Konsep muzik, lebih kepada pop etnik kreatif.

Zafeen Solawat, satu trek yang menjadi single pertama Bismillah. Konsep muzik zapin diguna pakai, dan menjadi batu asas memperkenalkan Bismillah dalam industri.

Album ini diteruskan dengan trek Tiang Agama, Astaghfirullah, Jutawan Pemurah, Aku Bukan Nabi, Ghurobah, Keagungan Tuhan dan Selimut Putih.

Hampir semua lagu lebih berkonsepkan saduran nasyid kontemporari dan pop etnik kreatif kecuali beberapa trek yang dianggap ‘sedikit’ unik.

Lagu Jutawan Pemurah, yang menggandingkan sepenuhnya Suhaimi dan Ina Naim. Lagu ini lebih berkonsepkan pop rock yang berlatarkan mesej sedekah.

Sebuah lagi lagu, Aku Bukan Nabi, merupakan satu halwa telinga yang menyentuh hati. Nyanyian solo sepenuhnya okeh Suhaimi, lagu ini lebih bersifat luahan hati terhadap segala kontroversi yang sering timbul.

Album Bismillah kiranya bukanlah satu projek yang tangkap muat. Namun dari aspek vokal, masih ada kekurangan yang perlu dibaiki kecuali vokal Suhaimi.

Simple and easy listening, namun kualiti muzik tetap diutamakan. Projek Bismillah ini boleh diteruskan pada masa akan datang dengan variasi muzik yang segar. 

Album ini diterbitkan secara digital melalui kiriman berbentuk fail. Bagi yang berminat, boleh hubungi Suhaimi Saad melalui Facebook dan Instagramnya. 

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling