MENAWAN | MARHAEN
Komposer: Hisyam Elharith | Lirik: Hisyam Elharith, Afiq Aminuddin
© 2021 |Soofi Studio
Berani keluar daripada kepompong biasa atau mudahnya tidak mahu terikat apatah lagi berada dalam zon selesa, begitulah gambaran yang boleh dipadankan kepada kumpulan vokal muda, Marhaen meski baru bertapak dan membina nama.
Sebelum ini, mereka pernah tampil dengan single nyanyian semula berjudul Amalan Ramadan.
Terbaharu, kumpulan Marhaen nekad menonjolkan kelainannya sekali gus cuba berusaha menjadi trend-setter baharu terhadap pembinaan karya yang bersifat kontemporari menerusi lagu terbaharu mereka, Menawan.
Kelainan ini sekali gus diharapkan dapat memikat pendengar baharu ke arah mesej positif yang dibawa.
Menurut ketua kumpulan, Hisyam Elharith, mereka terpanggil untuk hasilkan lagu dan karya yang mudah selain berkonsepkan easy listening.
“Kami perlukan mesej atau moral yang lebih santai serta melodi yang lebih mudah untuk diulang-ulang di bibir. Inspirasi lagu kali ini ada juga diambil daripada lagu internasional tapi kami cuba ketengahkannya dengan cara sendiri.”
“Marhaen belum pernah ada single yang santai dan happy. Selalunya fokus kepada lagu yang minor chord tapi untuk Menawan, kami tonjolkan kelainan dengan genre pop. Harapnya pendengar mampu terima,” ujarnya yang juga merupakan penulis lirik lagu ini.
Menawan diharapkan dapat menambat hati pendengar bahkan peminat baharu melalui keunikan konsep melodi yang diketengahkan serta mengangkat mesej berkaitan penghargaan terhadap seseorang yang menerima diri kita seadanya.
Sudah pasti dedikasi ini tidak hanya untuk kekasih malahan mesejnya lebih luas kerana boleh juga ditujukan kepada sahabat, keluarga dan sesiapa sahaja yang dirasakan menawan dalam hidup.
Menawan terbitan Soofi Studio telah diperdengarkan sejak 16 Julai 2021 di semua plaftorm digital Spotify, Joox, Apple Music, YouTube Music, KKBox & Deezer.
Muzik video rasminya juga boleh ditonton di saluran Youtube Soofi Studio.
Rancang Terbit Album Mini
Tidak menjadikan pandemik apatah lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masih dilaksanakan di seluruh negara sebagai halangan, kumpulan ini akan terus mempergiatkan promosi single Menawan terlebih dahulu menerusi atas talian.
Mengenai perancangan lanjut kumpulan Marhaen, mereka difahamkan dalam proses menyiapkan beberapa karya lain untuk dimuatkan dalam album mini mereka nanti.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.