Setahun yang lalu, Zayne diperkenalkan secara rasmi menerusi lagu Rindu. Kali ini setelah setahun 'menyepi', Zayne hadir dengan single kedua mereka, Kaulah Cinta.
“Alhamdulillah, selepas hampir setahun tidak keluar dengan single penuh disebabkan kekangan wabak Covid-19, akhirnya kami berjaya juga melancarkan single kedua kami ini” ujar Furqan sebagai ketua kumpulan Zayne.
“Kami sangat bertuah apabila kali ini diberi peluang berkolaborasi dengan label produksi arus perdana World Peace Entertainment yang menaungi artis-artis terkenal seperti Naim Daniel dan Ismail Izzani sebelum ini. Lagu yang diterbitkan bersama Inteam Digital dan World Peace Entertainment ini bagi kami sangat sesuai dengan kami,” tambah Mateen menjelaskan mengenai kerjasama antara Inteam Digital dan World Peace Entertainment bagi menerbitkan single Kaulah Cinta.
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Shaqiel Naufal, Firdaus Rahmat & Mas Dewangga ini merupakan sebuah lagu bergenre pop yang berentak rancak dengan susunan muzik oleh Mas Dewangga.
Menurut Firdaus Rahmat, selaku pencipta lagu, proses rakaman hanya mengambil masa 2 hingga 3 jam lebih untuk menyempurnakan lagu ‘’Kaulah Cinta‘’.
“Sebelum ini kami sudah keluar dengan single Rindu yang berentak agak perlahan dam sentimental serta beberapa lagu nyanyian semula, kali ini kami tampilkan single berentak agak rancak ini supaya lebih sesuai dengan jiwa remaja sambil menghayati mesej dari lagu ini,” tambah Basit.
“Lirik Kaulah Cinta ini walaupun sekali dengar seperti cinta sesama manusia, hakikat sebenarnya ialah ia menyentuh soal cinta teragung iaitu Cinta Pencipta iaitu Tuhan Yang Maha Esa. Video klip yang kami rakamkan di Hotel Mandarin Kuala Lumpur dan sekitarnya juga membawa mesej walau apa yang kita lakukan, kita mesti sentiasa melaksanakan kewajipan kita kepada Ilahi,” ujar Naufal menerangkan mesej yang hendak disampaikan melalui lagu ini.
Lagu Kaulah Cinta yang telah pun dilancarkan kini berada di seluruh platform digital seperti YouTube Inteam Digital, Spotify, Deezer, KKBox, Apple Music dan lain-lain.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.