Munif Hijjaz bukanlah satu nama asing dalam industri nasyid. Vokalis utama kumpulan Hijjaz ini merupakan antara insan terawal yang hadir menaikkan nama nasyid dalam industri hiburan Malaysia.
Walaupun masih bersama kumpulan Hijjaz, namun kehadirannya secara solo adalah untuk mengisi ruang kosong yang ada berikutan keterbatasan anggota Hijjaz lain yang terikat dengan komitmen masing-masing.
Menerbitkan lagu-lagu secara solo sebenarnya bukanlah perkara baharu buat Munif, Malah ketika Hijjaz Records masih aktif, lagu solo Nur Tuhan dirakamnya dalam siri album zikir Penawar Hati. Kemudian, beberapa lagi lagu turut dirakamnya tanpa penglibatan Hijjaz seperti Bidadari dan Ku Pinta yang diterbitkan menerusi syarikat rakamannya iaitu MH Pro.
Namun atas sebab tertentu, operasi Hijjaz Records dan MH Pro tidak mampu diteruskan lagi. Sejak itu, kumpulan Hijjaz sendiri kurang aktif ekoran kerjaya setiap anggotanya yang berbeza.
Minat dan bakat yang mendalam untuk menghasilkan karya-karya sendiri mendorong Munif Hijjaz mewujudkan saluran Youtube Munif Hijjaz Channel. Saluran ini digunakan semaksima mungkin olehnya bagi menerbitkan karya-karya seninya.
Permulaan Munif Hijjaz kembali aktif menerbitkan single-single secara solo bermula pada September 2020, bermula dengan lagu Sumayyah The Martyr (versi Arab), diikuti Selimut Putih (feat Ustaz Faizan), dan Agung Cintamu.
Sepanjang tahun 2021, sebanyak 11 buah lagu baharu dan rakaman semula diterbitkan oleh Munif Hijjaz di bawah labelnya sendiri, Munif Hijjaz Production.
Senarai single-single Munif Hijjaz:
- Kau Guru Murabbi Sejati (Januari)
- Rindu Humaira' feat Maliq Suhaimi (Mac)
- Ramadhan Kareem feat Zul Rabbani (April)
- Tasbih Bergema Di Hari Raya feat Ezad Lazim dan Maliq Suhaimi (Mei)
- Kau Pemilik Cinta 2021 (Mei)
- Kering Sudah Airmata (Julai)
- Dia Kekasih Allah 2021 feat Ustaz Faizan (Ogos)
- Kau Sahabat Kau Teman 2021 (September)
- Khadijah Cinta Dari Syurga Feat FINE (Oktober)
- Munajat Seorang Hamba 2021 (November)
- Puteriku Sayang 2022 (Disember).
Kejayaan menerbitkan 11 buah lagu untuk tahun 2021 boleh disamakan dengan terbitnya sebuah album jika dikumpulkan. Namun, trend industri muzik kini yang lebih terbuka untuk penerbitan single berbanding album perlu kita akui.
Adakah tahun 2022 akan menyaksikan Munif Hijjaz lebih ligat menghasilkan karya-karya terbaharu? Semuanya akan terjawab apabila tiba masanya.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.