WAKTU | ADIB ZAHAR
Lagu: Kuroy & Kamarul | Lirik: Kuroy
© 2021 | Produksi Karya Positif
Selepas lahirnya single pertama berjudul Akur pada Februari 2021, Adib Zahar meneruskan kesinambungan seni suaranya dengan karya keduanya, Waktu.
Waktu ditulis oleh Kuroy manakala lagunya dicipta secara bersama Kuroy dan Kamarul. Lagu ini diterbitkan oleh Ramzul Ikbar, Amman (Damai) dan Kamarul di bawah label Produksi Karya Positif.
Sinopsis Waktu berkisahkan tentang kehidupan manusia yang sering dikaitkan dengan masa. Salah satu nikmat yang Tuhan berikan kepada manusia adalah masa lapang. Malah, kepentingan masa telah diperingatkan oleh Allah melalui surah Al-'Asr di dalam al-Quran.
Justeru, penulisan lirik Waktu ini disandarkan menerusi peringatan Tuhan tersebut. Liriknya bukanlah sukar untuk difahamkan. Bait lirik jelas dan terlalu straight forward. Sekali dengar, kita boleh faham mesej yang ingin disampaikan.
Konsep muzik lagu Waktu lebih kedengaran seperti lagu klasik. Melodinya kedengaran seperti sedikit retro. Sekali imbas, melodi ini mengimbau kembali kepada lagu-lagu era 1990-an. Ditambah pula dengan gaya vokal Adib yang terlalu mendayu. Gabungan melodi, lirik serta vokal Adib amat ngam.
Namun, untuk karya seni yang mendatang, citarasa muzik era kini perlu diambil kira bagi meluaskan lagi sasaran lagu ini. Mesej yang baik perlu disampaikan dengan lebih meluas, bukan sekadar sasaran golongan agamawan semata-mata.
Kehadiran Adib Zahar dalam mengisi ruang industri lagu ketuhanan seharusnya diberi tabik hormat. Dalam fasa muzik yang terlalu terbuka, sudah pasti ia merupakan cabaran besar terutama buat bakat baharu lagu berkonsepkan Islami.
Waktu diterbitkan pada malam 31 Disember 2021, sekali gus menjadi antara karya nasyid pembuka bagi episod tahun 2022. Lagu ini hadir serentak bersama klip video di saluran Youtube Karya Positif.
Selain Adib Zahar, Produksi Karya Positif turut memfokuskan kepada seorang lagi bakat baharu, Kamarul. Kamarul turut melancarkan single keduanya, Seperti Semalam, pada Disember 2021 lalu.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.