Tribute Meor Yusof Aziddin: Hilangnya Pesta Jiwa


Allahyarham Meor Yusof Aziddin bin Meor Hassan, satu nama yang dikenali dengan imej lagu-lagu rakyat. Bagi mereka yang acapkali berada di stesen KL Sentral, sudah pasti akan mengenali raut wajah penyanyi jalanan ini.

Dilahirkan pada tahun 1967 di Beruas, Perak, Allahyarham Meor merupakan adik kepada penyanyi terohor Sohaimi Meor Hasaan dan kartunis Mishar. Darah seni yang ada pada adik-beradiknya yang lain turut diwarisi Allahyarham. Prinsip dan falsafah muziknya tersendiri menjadi panduan buat Meor dalam berkarya.

Berdasarkan catatan dalam bukunya, Gila Muzik, Allahyarham penah menyatakan bahawa muzik bukanlah sekadar hiburan semata-mata.

"Muzik bagi aku bukan sekadar hiburan untuk halwa telinga. Ianya lebih daripada itu. Ianya untuk jiwa. Ianya kitab kehidupan. Ianya membentuk diri menjadi lebih peka pada alam, hidup dan kemanusiaan," tulisnya dalam buku Gila Muzik (halaman 51).

Maka tidak hairanlah perjalanan seni Meor melalui pelbagai cabaran dan rintangan. Penyanyi bergenre folk ini mula berkecimpung dalam bidang seni suara sejak tahun 1984.Kumpulan pertama yang ditubuhkannya ialah 'Kontra', kemudian diikuti 'Society'. Ketika itu, Society pernah merakamkan sebuah lagu bahasa Inggeris berjudul 'Holocaust in My Head' yang dimuatkan dalam album kompilasi Circle of Friends. Usia Society tak panjang, akhirnya mereka berpecah.

Sejak itu, Meor bergerak secara solo. Pada tahun 1993, Allahyarham telah menjadi artis rakaman bagi syarikat Luncai Emas. Namun atas faktor-faktor tertentu, jodohnya bersama Luncai Emas turut berakhir.

DISKOGRAFI ALBUM SI PENYANYI JALANAN

Album pertama, Pesta Jiwa (2000)

Pada tahun 2000, penantian untuk memiliki album sendiri berakhir. Di bawah label Nebiula Production. Ini merupakan satu-satunya album Allahyarham di bawah label komersial. Selepas Pesta Jiwa, Meor bergerak secara indie sepenuhnya tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

Album kedua, Pesta Jiwa II

Album keduanya, Pesta Jiwa 2, merupakan album yang dihasilkan sepenuhnya melalui hasil tangannya 100%. Rakaman berlangsung di showroom kedai tempat Meor bekerja (ketika itu),maka kualiti bunyi sudah pasti tidak sehebat di studio. Kulit album dan booklet ditulis tangan, manakala cetakannya dibuat di kedai. Proses membungkus, menjual dilakukan secara total oleh Meor. Namun, kejayaan album pertama tidak memberi impak bagi jualan Pesta Jiwa 2.
Itu Padang..Aku Disitu (2003)

Pada tahun 2003, Meor menerbitkan album ketiga berjudul Itu Padang...Aku Di Situ yang dilancarkan di Pasar Seni Kuala Lumpur. Album ini menerima maklum balas yang positif dan diminati mereka yang mengikuti perjalanan seni Meor. Selepas album ketiga, karya-karya seni Meor mendapat perhatian walaupun dalam kelompok yang kecil. Sesuailah dengan statusnya sebagai artis indie.

Album keempat, Aku & Bulan

Selepas lapan bulan album ketiganya dilancarkan, album keempat berjudul Aku dan Bulan diterbitkan pada tahun 2004. 
Album Yang Terlintas Di Fikiran

Pada tahun 2007, album kelimanya, Yang Terlintas Di Fikiran, diterbitkan. Album ini dirakamkan di studio Purple Sound dan telah ditaja. 

Album Sakrat

Pada tahun 2008, lahirlah album keenamnya, Sakrat.Sakrat diambil dari perkataan asal, sakaratul maut. Album ini memuatkan 10 sajak ciptaan Allahyarham Amirul Fakir dan dilagukan oleh Meor. Album ini bernadakan akustik. 

Album Dari Rakyat Untuk Rakyat, antara album terbaik Allahyarham

Album ketujuh Meor, Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR) lahir pada tahun 2009. Projek album ini tercetus hasil manifestasi keputusan pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional hilang majoriti 2/3 kerusi di Dewan Rakyat.

DRUR dilancarkan pada 17 Oktober 2009 di Dewan Serbaguna AU2, Keramat.Ketika itu, acara gilang-gemilang diadakan termasuk kolaborasi bersama Gerakan Mansuhkan ISA(GMI). Ramai aktivis terlibat seperti Hishamuddin Rais, Abdullah Jones, Pyanhabib, Amin Iskandar dan lain-lain. 


DRUR memuatkan lagu-lagu berkonsepkan kemanusiaan dan politik seperti ISA..Ikut Suka Aku, Bapa Aku Seorang YB, Sampai Bila dan banyak lagi. Namun di sebalik 'kekuatan' roh album ini, kehadiran album ini kurang diterima terutama pengikut aktivis politik Islam.Mungkin imej Meor yang tidak berkopiah, tidak bernasyid menjadi faktor penolakan.

Tahun 2011, Meor dan Black menghidupkan semula kumpulan Society. Kumpulan ini telah menjemput Daiyan Trisha sebagai penyanyi bersama. Maka lahirlah album Jalan di bawah label CRG.

Kompilasi Komplikasi dicetak sebanyak 100 unit sahaja

Album kelapan Meor, Kompilasi Komplikasi diterbitkan pada tahun 2012 yang memuatkan lagu-lagu pilihan Meor dan dirakamkan secara live. Album ini dikhabarkan dicetak sebanyak 100 unit sahaja.

Album Redup, album Melayu terakhir 

Pada tahun 2013, Meor menerbitkan dua buah album iaitu Redup dan Nostalgia. Kedua-dua album ini dirakamkan di studio Kerbauworks milik Joe Kidd dan Bullet. Konsep muzik masih akustik.

Album Inggeris sepenuhnya

Walaupun tidak terkenal, namun seni jalanan Meor dikenali kelompok peminat yang mementingkan mesej seni berbanding populariti. Terhasilnya lebih 10 buah album melalui karya-karya berfalsafah bukanlah sesuatu yang mudah.

Tanggal 24 Disember 2021 (Jumaat) pada pukul 11.42 malam, setelah lebih 14 hari ditidurkan akibat jangkitan virus durjana Corona, Raja Busker Malaysia ini pergi meninggalkan kita. Perginya 'Pesta Jiwa' ini sudah pasti sukar diganti. Al-Fatihah!

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling