Mestica, Hattan Berpadu Vokal Dalam 'Istikharah'

ISTIKHARAH | MESTICA FEAT HATTAN
Lagu: Razin Mestica | Lirik: Mass Mohamad 
© 2022 | MASYHUR & BEEGOOD MEDIA
 
Selepas kehadiran lagu Kasorrga pada tahun 2018, kumpulan Mestica ibarat menyepi seketika. Komitmen berbeza setiap anggota merupakan antara faktor mereka sepi tanpa khabar.

Ibarat diam-diam berisi, Mestica tampil kembali kali ini dengan sebuah lagu baharu, Istikharah. Lebih menarik, kemunculan mereka kali ini adalah kolaborasi bersama seorang artis berpengalaman, Dato’ Hattan.

Mestica yang ditubuhkan pada tahun 2003, seringkali membuat eksperimen muzik terhadap nyanyian mereka. Kali ini, Istikharah dialunkan dengan menggunakan elemen balada.

Mestica yang dianggotai Muhamad Razin Che Mud (Razin), Mohd Khairulnizam Zainol (Khairul) dan Khalil Khusairi Tarmizi (Khalil) merasakan satu penghormatan buat mereka dalam industri muzik apabila Dato’ Hattan sudi berkolaborasi bersama.

“Untuk lagu ini tentunya kita meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi ini kali pertama Mestica berduet dalam satu single dengan Dato’ Hattan yang cukup besar namanya dalam industri muzik kita. Saya difahamkan Dato’ Hattan sendiri tidak pernah terbabit produksi atau single bergenre nasyid. Ini satu penghormatan juga disebabkan Dato’ Hattan memilih kami sebagai artis nasyid pertama yang beliau berkolaborasi untuk menghasilkan satu single,” ujar Razin Mestica.

Istikharah, yang merujuk kepada sejenis solat sunat sangat sinonim dengan soal mencari jodoh, kerjaya atau memilih apa jua situasi.

Konsep istikharah mungkin ada yang tak pernah dengar atau tak jelas kefahamannya. Justeru, penulis lirik Istikharah yang juga isteri kepada Razin Mestica, Mass Mohamad, menjadikan konsep istikharah sebagai inti pati lagu ini.

Sementara itu, Dato’ Hattan menyifatkan lagu Istikharah adalah lagu yang memberi semangat dan sesuatu yang memberi perjuangan.

“Saya ‘salute’apa yang Mestica cuba buat ini dan saya menyokong penuh singleterbaharu ini. Proses penulisan lagu ini, saya tidak ada dalam penciptaan lagu ini. Saya hanya dijemput sebagai penyanyi. Jadi, saya rasa bahagian penulisan dan mengenai penceritaan lagu ini semua saya serahkan kepada Mestica. 

 “Dari segi proses rakaman lagu berjalan dengan begitu baik dengan bantuan daripada pakar nasyid kita iaitu Daqmie. Ia memberikan satu semangat dan memudahkan disebabkan tunjuk ajar beliau kerana saya tidak pernah buat rakaman nasyid sebelum ini,” katanya. 

Hattan pula mengakui dia mengharapkan sesuatu yang berbeza dalam penghasilan video muzik. 


“Proses muzik video, sebenarnya saya harapkan perkara yang lain. Saya berharap muzik video itu menjadi sesuatu yang lain. Tapi apapun, bukan semua idea kita sama dan ia tetap bagus sebab dapat bekerjasama dengan anak muda serta pasukanyang baru saya kenal ini. 

 “Harapan saya untuk lagu ini agar ia akan meletup dan menjadi satu lagu yang boleh dikaji oleh orang ramai agar dapat dijadikan panduan di samping mendapat kebaikan menerusi lirik lagu itu. Semoga kita terus berjuang dan semoga lagu ini mendapat tempat di hati para pendengar. Insya-Allah saya doakan semoga Mestica dan pasukan produksi terus maju pada masa hadapan. Sama-sama kita doa,” katanya.
 


Kehadiran Istikharah mampu menaikkan imej Mestica jika kena dari segi promosinya. Kekuatan dan keunikan vokal Mestica, ditambah dengan kehebatan Hattan mampu menaikkan lagu ini terutama apabila tiba musim bulan Ramadhan nanti. 


Istikharah diterbitkan oleh BeeGood Music dan Masyhur, manakala edaran digital oleh Universal Music.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling