Sedar tak sedar, kumpulan Saff One telah mencecah usia 2 dekad dalam industri hiburan Malaysia. Sempena meraikan dua dekad usia kumpulan ini di arena nasyid, Saff One tampil dengan dua buah lagu sebagai hadiah buat pencinta nasyid.
Pada mulanya, dua buah single ini dijadualkan diterbitkan pada hujung Disember 2021 namun ditunda sempena menghormati mangsa-mangsa banjir yang melanda negara.
ANUGERAH | SAFF ONE FEAT RAZIN MESTICA Lagu: Nasation & Qhaleed Saff One | Lirik: Nasation & Romzi Ishak © 2022 | SAFF ONE PRODUCTIONS |
Lagu pertama ialah Anugerah, sebuah lagu lama yang diberi nafas baharu. Anugerah merupakan sebuah lagu yang dimuatkan dalam album kumpulan Nahwan Nur, Di Kala Hati Bercahaya pada tahun 1994. Lagu ini merupakan ciptaan Nasation dan Qhaleed Saff One, manakala lirik ditulis oleh Nasation dan Romzi Ishak.
Versi asal lagu Anugerah sebelum ini sekadar menggunakan alat muzik perkusi dan dinyanyikan secara solo oleh Nasution, yang turut menganggotai Saff One suatu ketika dahulu. Bagi nafas baharu, Saff One telah berpadu suara bersama Razin (Mestica) dan menggunakan susunan muzik yang moden, sesuai dengan peredaran masa.
Nafas baharu Anugerah ini merupakan satu simbolik permulaan kumpulan Saff One yang berasal dari kumpulan Nahwan Nur, kemudian ditransformasi menjadi Mustika dan akhirnya menjadi Saff One. Kehadiran lagu ini umpama ubat kerinduan bagi mereka yang pernah mengikuti perkembangan Nahwan Nur sekitar tahun 1990-an dahulu.
HANYA SEDETIK | SAFF ONE Lagu & Lirik: Akmal Mustaffa © 2022 | SAFF ONE PRODUCTIONS |
Selain Anugerah, Saff One turut tampil dengan lagu Hanya Sedetik. Hanya Sedetik merupakan sebuah lagu baharu ciptaan sepenuhnya Akmal Mustafa. Lagu ini dirakamkan di studio Tarbiah Sentap, satu label yang cukup sinonim dengan penghasilan lagu-lagu dakwah.
Lebih berkonsepkan lagu motivasi, imej Saff One kelihatan 'remaja' menerusi lagu Hanya Sedetik. Lagu yang santai, namun mampu membangkitkan semangat. Lagu ini sedikit berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dibawakan Saff One sebelum ini.
Sedikit imbasan perjalanan Saff One, kumpulan ini bermula dengan nama Nahwan Nur sekitar era 1990-an. Ketika itu, mereka masih menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM). Ketika bergelar Nahwan Nur, mereka sempat tampil dengan lima album iaitu Amanat (1992), Monolog (1993), Persada Nurani (1993), Di Kala Hati Bercahaya (1994), dan Terlerai Kabus Diterbit Fajar (1995).
Selepas itu, mereka dijenamakan semula menjadi Mustika pada tahun 1999 di bawah naungan Ambang Klasik. Ketika bergelar Mustika, mereka sempat menerbitkan sebuah album, Keagungan. Lagu popular, Maha Suci Allah.
Pada tahun 2001, mereka dilamar oleh Telaga Biru yang akhirnya secara rasmi nama kumpulan ini ditukar menjadi Saff One. Sejak itu, mereka tampil dengan album Di Syurga Menanti, Emas Awanan, Sandaran Cinta, dan Zikir Doa Nasyid.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.