‘Senandika’: Taruhan Berbakat Ghufran

ALBUM: SENANDIKA | ARTIS:  GHUFRAN
℗ 2022 | Cahaya Hati Production 
© 2022 | Ghufran LeBest

Selepas kehadiran dua single sebelum ini, Jiwa Al-Quran dan Khalid Al-Walid, terus mengorak langkah dengan album sulung mereka, Senandika.

Ghufran dibarisi empat anak muda iaitu Amirul, Daniel, Haikal dan Idris. Permulaan kumpulan ini adalah menggunakan nama Shoutul Wadi yang berasal dari SMK Lembah Bidong, Setiu, Terengganu.

Ketika itu, kewujudan kumpulan ini adalah sebagai wakil sekolah bagi menyertai pertandingan-pertandingan nasyid. 

Hasilnya, mereka pernah menjadi Johan Nasyid Festival Kesenian Islam, dan Naib Johan Nasyid Karnival Dakwah Pengakap Kebangsaan 2019.

Sumber: Facebook Ghufran

Melihat kepada bakat yang ada, orang kuat Cahaya Hati Production, Roslan Darus,  telah mencadangkan kepada Ustazah Eliana selaku Pengurus Ghufran untuk merakamkan album kumpulan ini.

“ Alhamdulillah, Cahaya Hati (CH) mula mengenali Ghufran pada tahun 2014. (Ketika itu) CH sering diundang ke SMK Lembah Bidong untk melatih dan mencipta lagu serta lirik mereka. 

CH mula beri cadangan kepada Ustazah Eliana agar lagu Ghufran dialbumkan supaya boleh menjadi tatapan generasi pelapis akan datang. Semangat dan pengorbanan ustazah dan sokongan daripada pihak pengurusan sekolah maka terhasillah album ini,” ujar Roslan dalam catatan Facebooknya. 


Album Senandika mengandungi 6 trek lagu iaitu Jiwa Al-Quran, Selawat Tafrijiyah, Khalid Al-Walid, Zikir Penguat Jiwa, Senandika dan Doa Al-Quran.

Album ini memulakan proses rakaman sejak April 2021 dan dirakamkan sepenuhnya di studio Cahaya Hati Production, yang turut bertindak sebagai label penerbit album.

Semua enam trek dalam album ini menonjolkan keunikan vokal harmoni Ghufran. Malah, menghayati album ini seolah merasakan mereka telah lama berpengalaman dalam bidang rakaman suara.

Selepas lagu Jiwa Al-Quran dan Khalid al-Walid menjadi single taruhan terawal sebelum ini, kali ini lagu Senandika dilihat menjadi sandaran utama Ghufran.

Senandika bermaksud percakapan hati, telah menggunakan bahasa-bahasa puisi yang agak mendalam. Lirik ini dinukilkan sendiri oleh pengurus Ghufran, Ustazah Eliana.

“Senandika adalah luahan hati saya sebab tiga orang ahli Ghufran akan meninggalkan SMK Lembah Bidong untuk melanjutkan pelajaran. (Oleh itu,) lagu ni sangat istimewa,” ujar Ustazah Eliana dalam satu komentar di laman Facebook.

Zikir Penguat Jiwa juga merupakan antara trek pilihan. Lagu ini lebih bersifat rancak, yang disulami elemen R&B. Trek Selawat Tafrijiyah pula dialunkan mengikut cara Ghufran sendiri, yang berlainan dengan mana-mana versi selawat tersebut sebelum ini.

Ghufran semasa pelancaran album mereka.
Sumber foto: Facebook Ghufran LeBest


Album Senandika telah dilancarkan pada 14 Januari 2022 oleh YB Mohd Norkhuzaini Bin Abdul Rahman, Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Album ini diterbitkan secara fizikal (CD) dan boleh didapati menerusi laman Facebook Ghufran.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling