![]() |
DAMBA KASIH 2022 | INTEAM FEAT SUFIAN SUHAIMI Lagu:Manis Helma Lirik: ITO Lara & Manis Alia © 2022 | INTEAM RECORDS SDN BHD |
Pesta bulan Ramadhan ibarat satu rezeki tersembunyi buat genre nasyid. Seperti tahun sebelum ini, kehadiran lagu nasyid dan pop religi mewarnai industri muzik Malaysia.
Antaranya ialah kolaboratif Inteam bersama penyanyi Sufian Suhaimi. Kali ini, mereka berganding vokal dalam sebuah lagu malar segar yang diberikan nafas baharu, Damba Kasih 2022.
Damba Kasih 2022 bermesejkan munajat seorang hamba kepada Sang Penciptanya. Kehadiran lagu ini dilihat bersesuaian dengan bulan Ramadhan yang digelar sebagai bulan ibadah buat umat Islam.
“Walaupun lagu ini merupakan lagu lama yang diberi nafas baru, pendekatan dari segi susunan muzik dan cara nyanyian agak berbeza daripada lagu asal, namun lirik taubat dan ketuhanannya tetap dikekalkan,” ujar Sufian Suhaimi.
Dalam masa yang sama, menurut Syahril Inteam, mereka sangat bersyukur dapat berkolaboratif bersama Sufian Suhaimi. Usaha ini merupakan kesinambungan kerjasama mereka bersama artis-artis bukan nasyid.
“Alhamdulillah, walaupun kita masih di dalam suasana pandemik dan pergerakan yang agak terbatas, namun kami bersyukur dan berterima kasih kepada Sufian Suhaimi dan syarikat rakaman beliau yang bersetuju untuk menjayakan kolaborasi ini selepas sebelum ini kami berjaya merakamkan single kolaborasi dengan artis terkenal seperti Khai Bahar, Sam Bunkface dan Aliff Satar," ulas Syahril selaku ketua kumpulan Inteam.
Dalam menilai lagu-lagu 'remake', perkara asas yang perlu ditinggalkan ialah perbandingan lagu 'remake' tersebut dengan versi yang asal. Versi Damba Kasih 2022 dilihat tidak mengecewakan. Gubahan muzik versi kali ini sudah pasti lebih kepada selera pendengar dewasa kini.
Muzik yang lebih segar, dan pemilihan artis yang dikenali generasi baharu kini merupakan satu langkah untuk mengetengahkan lagi Damba Kasih 2022 kepada umum. Mungkin ada yang tidak pernah mendengar lagu ini maka segala langkah bijak perlu agar mesej lagu tersebut dapat disebar luaskan lagi.
Pemilihan Sufian Suhaimi juga amat bersesuaian dengan imejnya yang kurang dibelenggu dengan kontroversi. Malah, vokalnya dilihat sesuai dengan genre nasyid yang diterapkan dalam Damba Kasih 2022.
Damba Kasih merupakan lagu yang pernah dimuatkan dalam album ketiga Inteam, Damba Kasih, yang berjaya terjual melebihi 30,000 unit. Ketika itu, album tersebut diterbitkan di bawah label Hijjaz Records.
Bagi Damba Kasih 2022, lagu ini diterbitkan oleh Inteam Records dan telah berada di platform digital bermula akhir Mac 2022.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.