‘Fatimah’: Episod Baharu UNIC

FATIMAH | UNIC
Lagu: Bazli UNIC |  Lirik: Fedtri Yahya
© 2022 | UNIC LEGACY

Fitri Haris pernah merencana kembara muzik secara solo bermula tahun 2009 selepas meninggalkan kumpulan UNIC secara rasmi.

Langkah tersebut pada ketika itu turut dipengaruhi komitmen Fitri sendiri yang turut berhijrah ke luar negara bagi melanjutkan pelajaran.

Kini setelah lebih 13 tahun ‘berpisah’, Fitri Haris kembali bersama UNIC sebagai anggota rasmi kumpulan tersebut. Malah, ia ibarat satu hadiah sempena ulang tahun UNIC ke-20.

"Saya antara pengasas kumpulan ini bersama Bazli dan seorang lagi, Wan Shah. Ketika itu, saya dan Bazli masih di bangku sekolah. 

“Saya bersama UNIC selama lapan tahun sejak 2002 hinggalah 2009. Jadi, bila diajak kembali oleh Fakhrul dan Bazli saya rasa sudah tiba masanya," kata Fitri Haris dalam Majlis Pengenalan Anggota Ke-3 UNIC dan pelancaran Single Terbaharu mereka di Restoran Acita, Kuala Lumpur pada 7 Julai 2022.


Sejurus lengkapnya UNIC menjadi sebuah trio, mereka tidak tunggu lama untuk menghasilkan karya terbaharu.

Meneruskan kesinambungan karya-karya srikandi Islam, UNIC memilih untuk menghasilkan single berjudul ‘Fatimah’.

Official Cover Single

‘Fatimah’ merupakan ciptaan Bazli UNIC manakala liriknya ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya.

Kecekalan Bazli dan Fakhrul mempertahankan ‘nyawa’ UNIC akhirnya berbaloi.

‘Fatimah’ mengembalikan kekuatan UNIC setelah beberapa ketika Fakhrul dan Bazli bergerak secara duo. Kali ini, terserlah sentuhan vokal yang lebih energetik.

Kepulangan Fitri ibarat pelengkap buat paduan suara UNIC. Malah, kembara muzik Fitri dilihat lebih lengkap apabila bergerak secara berkumpulan.

Begitu juga dengan Fakhrul dan Bazli. Mereka mempunyai keunikan vokal tersendiri. Gabungan trio ini akhirnya ibarat menaikkan lagi ‘roh’ lagu kali ini.

Soal label ‘kitar semula’ tidak timbul dengan kemasukan semula Fitri ini. Sememangnya kekuatan UNIC salah satunya ada pada diri Fitri sendiri.

Malah kerjasama UNIC bersama Fitri Haris juga telah berlangsung bermula sekitar tahun 2021 menerusi beberapa rakaman semula lagu-lagu malar hijau mereka.



‘Fatimah’ merupakan permulaan episod baharu buat UNIC untuk terus berkarya. Mungkin pada masa akan datang, UNIC boleh membawa masuk semula nama-nama yang pernah bersama UNIC seperti Fadzli Aziz, Najdi ataupun Hafiz Hamidun. 

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling