Komposer dan penyanyi berbakat besar, Daqmie, buat julung kalinya menghimpunkan empat nama besar dalam sebuah album projeknya yang terbaharu.
Bertemakan persahabatan, Daqmie telah menjemput kumpulan Rabbani, Hijjaz, Inteam dan Mestica untuk bergabung dalam sebuah album berjudul Sahabat Selamanya.
Projek ini merupakan gandingan label Daqmie Music Factory dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap pihak yang pengkaji dan peneliti perkembangan industri muzik nasyid di Malaysia.
Menurut Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap, idea untuk menghimpunkan sahabat-sahabat nasyid itu adalah untuk menarik kembali minat pendengar irama nasyid tempatan selain sebagai penghargaan kepada kumpulan tersebut.
“Lagu-lagu tersebut adalah simbolik penghargaan serta hadiah kepada sahabat-sahabat sepanjang pengenalan kami. Tiada kos yang perlu sahabat nasyid keluarkan, hanya kesudian," katanya di Majlis Pelancaran Album Sahabat Selamanya.
Sahabat Selamanya memuatkan 10 buah lagu, kombinasi empat buah lagu popular asal setiap kumpulan yang diberikan nafas baharu bersama Daqmie,manakala enam buah lagi merupakan lagu baharu yang mendapat sentuhan komposer serta penulis lirik terkemuka tanahair antaranya Datuk Habsah Hassan, Alfa Booty, Tam Spider, Aidit Alfian, Baiduri, Halim Ahmad, Keon, Isman Isam, Ito Lara serta Atie.
Empat lagu nyanyian asal yang diberi nafas baharu secara berduet bersama Daqmie ialah Layar Keinsafan (Mestica), Kasih Kekasih (Inteam), Pergi Tak Kembali (Rabbani) dan Fatamorgana (Hijjaz). Manakala enam lagu baharu ialah Sandiwara (Hijjaz), Tiada Tarikh Tamat (Inteam), Apa Khabar Apa Cerita (Mestica), Manik-Manik Sejahtera (Rabbani), Masih Terlihat Senyummu (Daqmie) dan Sahabat Selamanya yang dinyanyikan oleh semua artis yang terlibat dalam album ini.
Sahabat Selamanya telah berada di platform digital secara berperingkat sejak November 2022.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.